Siakap Keli
Gambar via Redaksi

Apa Yang Perlu Dibuat Jika Tiba-tiba Dilamar Lelaki? Ini Nasihat Buat Wanita Diluar Sana

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Adakah anda sudah memahami apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘melamar’? Melamar membawa erti satu proses yang dilakukan oleh seseorang yang mahu berkahwin yang diibaratkan pintu gerbang sebelum melangsungkan perkahwinan. Kebiasaannya proses melamar dilakukan dengan melibatkan ahli keluarga.

Dilamar oleh seorang lelaki adalah saat yang paling indah yang dinanti-nantikan oleh kaum wanita di seluruh pelusuk dunia. Namun begitu, ia menjadi persoalan di sini, apakah yang kaum wanita perlu lakukan apabila dilamar oleh seorang lelaki? Berikutan itu, Ustaz Alif Mahari telah berkongsi di laman Facebook mengenai beberapa perkara yang para wanita perlu lakukan.

1. Melihat keperibadian si dia, kalian mesti memerhati setara mana agama, akhlak, adab dan sopan santunnya. Juga menilai dari segi luaran, cara percakapan serta bagaimana si dia melayan orang tua. Apabila dah lama mengenalinya dan selesa berkawan dengannya, kalian sudah boleh mula laksanakan solat istikharah.

2. Selepas menunaikan istikharah, dan setelah beroleh beberapa petunjuk, kalian teruskan niat untuk bernikah dengannya. Namun harus diingat, sepanjang tempoh bertunang, kalian dapat rasa ada saja ujian yang mendatang.

Halangan tersebut boleh menyebabkan rancangan pernikahan tertangguh bahkan terbatal, meski niat kalian adalah untuk untuk menyempurnakan separuh iman.

Ini tempoh kritikal, syaitan akan cuba sedaya upaya untuk menggagalkan usaha murni kalian. Makhluk terkutuk itu tidak akan redha sama sekali jika berlaku pernikahan antara teruna dan dara. Justeru, kedua pasangan harus tekad dan sabar hingga ke gerbang perkahwinan.

3. Petunjuk istikharah bukan hanya datang dari mimpi, malah ia boleh saja berdasarkan kekuatan dan keteguhan hati seseorang.

Misalnya jika kalian punya dua atau tiga pilihan, petunjuk mungkin boleh berdasarkan kecenderungan hati untuk memilih yang mana satu, terutama dari segi akhlak dan agamanya. Namun jika menentukan pilihan masih ada halangan, pilihlah yang lain, mungkin si dia masih bukan yang terbaik untuk dijadikan suami.

4. Kalian juga tidak boleh abaikan keluarga si dia yang melamar, keadaan keluarganya patut menjadi pertimbangan untuk menjawab lamaran. Kerana bila menikah kelak, keluarganya akan menjadi sebahagian dari kehidupan rumah tangga kalian.

5. Mengutamakan agama daripada hartanya. Juga harus memperhatikan bagaimana si dia menjalani kehidupan beribadah.

Ini penting, kerana si dia bakal imam dan pemimpin yang mendidik kalian serta anak-anak. Mesti pilih yang taat padaNya, cinta rasulNya dan sayang sunnahNya.

6. Memastikan sumber pendapatan si dia, hasil yang halal patut menjadi keutamaan. Agar apa yang diberi makan buat keluarga jadi berkat dan rahmat.

7. Berusaha menerima seadanya, sikap ini juga harus dimiliki oleh si dia yang melamar agar terjalin kemesraan dan cinta setelah berumah tangga. Tiada manusia yang sempurna, masing-masing punya kelemahan. Justeru, pernikahan akan menjadi pelengkap antara keduanya dan penyempurna segala kelemahan yang dimiliki.

8. Bila dan mantap, yakin 100% dengan pilihan. Maka pejam mata, lafazkan Bismillah dan teruskan niat suci kalian. Semoga beroleh mawaddah dan rahmah dalam rumah tangga.

Sumber: Ustaz Alif Mahari

Nabila

Memilih untuk menjadikan pena sebagai duri yang memberi manfaat kepada manusia

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.