Siakap Keli
Gambar: Agensi

Saraf Rosak, Akal Terencat & Lumpuh Akibat Keracunan Selepas Makan Ikan Dicemari Merkuri, Kisah Tragedi Minamata Di Jepun, Antara Pencemaran Terburuk Dalam Sejarah

Jepun pernah mengalami mimpi ngeri dalam sejarahnya apabila negara ‘Matahari Terbit’ itu pernah dilanda epidemik berbahaya yang merosakkan sistem saraf tunjang manusia hingga mengorbankan ribuan nyawa.

Pada penghujung 1950an dahulu, Teluk Minamata di barat Pulau Kyushu dicemari dengan bahan acetaldehyde yang dilepaskan dari paip sisa kilang petrokimia milik Chisso Corporation.

Pada awalnya, cecair itu telah ditransformasikan secara biologi (biotransformed) oleh bakteria di dalam air teluk berkenaan menjadi methylmercury (atau merkuri organik) yang didakwa berkumpul dan membesar (juga secara biologi) dalam otot ikan.

Bagaimanapun masalah mula berlaku di kitaran rantaian makanan apabila ikan-ikan tersebut dimakan oleh kucing di darat, sebelum kucing-kucing tersebut mengalami komplikasi secara berperingkat dan akhirnya mati.

Laporan media mengatakan, kucing yang mengalami keracunan itu didakwa bertukar agresif, hilang kawalan dan ingatan sebelum ‘membunuh diri’ dengan terjun ke laut.

Selepas kucing, manusia pula terkena tempias

Tidak hanya kucing, ikan-ikan yang tercemar itu juga turut menjejaskan manusia yang memakannya dan ianya berlaku tidak lama selepas itu.

Suasana di bandar mulai kacau-bilau apabila ramai individu mengalami komplikasi pelik serta perubahan ketara pada tubuh mereka.

Difahamkan, ianya berpunca akibat sistem saraf termasuk saraf tunjang mereka yang tercemar dengan sel ikan tersebut.

Dikatakan, ramai mangsa mengalami kekejangan di anggota badan dan bibir mereka, malah ada sesetengahnya mengalami kesukaran untuk mendengar dan melihat.

Dalam masa sama, ada mangsa turut mengalami simptom gegaran di tangan dan kaki mereka hingga menyukarkannya untuk bergerak.

Antara mangsa yang terkesan | Gambar: Agensi/Jepun

Malah otak mereka juga dilaporkan rosak dan seperti kes kucing-kucing sebelum itu, ada sesetengah mangsa mulai agresif dan hilang ingatan hingga tidak mampu dikawal lagi. Segalanya berkaitan dengan saraf yang rosak.

Selain memberi kesan buruk kepada wanita hamil, janin dan bayi di dalam kandungan juga turut terjejas di mana mereka dilahirkan bersama kecacatan yang teruk seperti anggota badan tidak berfungsi, terencat akal, pekak dan buta.

Untuk rekod, kira-kira 1,784 mangsa meninggal dunia akibat keracunan tersebut, selain 2,955 lagi terjejas dan lumpuh.

Akhirnya pada Julai 1959, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kumamoto menemui punca kejadian, di mana sejenis bahan merkuri beracun tahap tinggi dikesan dalam ikan-ikan yang tercemar dengan cecair tersebut.

Kes malapetaka penyakit itu digelar sebagai ‘Penyakit Minimata’ atau ‘Tragedi Minimata’.

Kilang tidak bertanggungjawab, orang awam memberontak

Menurut laporan media, kecelakaan berskala besar itu berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab kilang petrokimia tersebut yang melepaskan kira-kira 27 tan kompaun merkuri ke dalam perairan Teluk Minimata.

Usai mengetahui punca pencemaran, orang awam khususnya nelayan di Minamata bersepakat bangkit dan melakukan protes besar-besaran terhadap pemilik kilang tersebut, Chisso Corporation.

Mereka berkeras meminta syarikat tersebut mengeluarkan semula bahan merkuri yang mencemari teluk itu, selain turut memohon pampasan atas kerugian sumber perikanan dan nyawa yang terkorban.

Difahamkan, syarikat tersebut akur dan bersetuju untuk bertanggungjawab, termasuk membayar semula sejumlah pampasan buat mereka secara melalui undang-undang.

Bertindak atas tanggungjawab, cecair merkuri tersebut dikeluarkan semula dan kerja-kerja pembersihan perairan teluk itu akhirnya selesai sepenuhnya pada 1968.

Bagaimanapun syarikat itu tidak mahu bertanggungjawab lagi sekiranya berlaku sebarang masalah pada masa akan datang.

Pemilik kilang & kerajaan Jepun diheret ke muka pengadilan

Kes pencemaran itu tidak berhenti setakat di situ sahaja. Pada Oktober 1982, kira-kira 40 plantif membawa tuntutan untuk menyaman kerajaan Jepun yang didakwa gagal memberhentikan tindakan Chisso daripada terus melakukan pencemaran alam sekitar.

Pada April 2001 berikutnya, Mahkamah Tinggi Osaka memutuskan Chisso agar membayar pampasan berjumlah RM8.8 juta kepada semua plantif tersebut.

Perjuangan 40 plantif itu selama 22 tahun akhirnya berpihak kepada mereka apabila Mahkamah Agung Jepun memerintahkan kerajaan untuk membayar pampasan bernilai RM750,000 lagi kepada mangsa-mangsa pada 16 Oktober 2004.

Selain itu, pada 2010 berikutnya pula, sekali lagi Chisso diarahkan untuk membayar sejumlah pampasan bernilai RM82,000 serta elaun perubatan setiap bulan kepada mangsa-mangsa terjejas.

Difahamkan, kira-kira 50,000 mangsa telah membuat permohonan tuntutan pampasan tersebut.

Tragedi Minamata telah menjadi satu tragedi pencemaran alam sekitar paling terburuk dalam sejarah Jepun, malah Kementerian Alam Sekitar ketika itu turut memohon maaf atas ‘kegagalan’ mereka berkenaan kejadian itu.

Antara mangsa yang dilapor terkesan | Gambar: Agensi/Jepun

Apa yang boleh diambil iktibar daripada Tragedi Minamata ini ialah setiap pencemaran alam sekitar yang berlaku oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh membunuh ribuan nyawa yang tidak berdosa.

Membuang sisa kimia ke sungai dan laut bukanlah sesuatu tindakan yang bijak, ia mampu melumpuhkan dan merosakkan ekosistem hidupan laut, sumber perikanan, sumber air, sumber makanan, nelayan dan sebagainya.

Walaupun sudah lima dekad berlalu, Tragedi Minamata masih lagi menjadi igauan, mimpi ngeri dan pengajaran terbesar buat rakyat Jepun dan kesannya masih lagi menghantui mereka hingga hari ini.

Sumber: Health and Environment, Very Well Health

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'