Siakap Keli
Gambar: Ustaz Ebit Lew

Tular Lima Beranak Makan Tidur Dalam Kereta, Ustaz Ebit Cari & Bayarkan Rumah Sewa Untuk Mereka

Pendakwah dermawan, Ustaz Ebit Lew baru sahaja menziarahi seorang mangsa langgar lari di Johor Bahru yang terpaksa dipotong tangannya semalam.

Belum sempat ‘berehat’, pada hari cuti umum Krismas hari ini beliau terus ‘memecut’ dari Johor ke Pulau Pinang untuk menziarahi sebuah keluarga kaum India yang tinggal berhimpit di dalam kereta.

Katanya, kes sayu keluarga tersebut sampai ke pengetahuannya ketika berada di Johor semalam hingga membuatkan air matanya tertumpah.

“Sedihnya lapan bulan makan tidur dalam kereta. Mandi di tandas awam. Kerja pengawal keselamatan (shift) malam bawa keluarga tidur dalam kereta.

“Rumah mereka terbakar bulan empat. Semua musnah. Sedihnya rasa. Saya tidur lena makan sedap, ada orang sampai tinggal dekat bonet kereta,” jelasnya sayu menerusi satu hantaran di Faceboook hari ini.

Gambar: Ustaz Ebit Lew

Akibat dihimpit kekangan, difahamkan Parameswari (isteri) pernah terpaksa menjalani tempoh berpantang selepas bersalin hanya di dalam kereta itu sahaja.

Dalam pada itu, walaupun sekadar sebuah ‘rumah’ kecil yang sempit, kedatangan Ustaz Ebit ke sana disambut meriah dengan gelak tawa si anak kecil.

“Sampai saja tengok muka anak comel sangat. Ceria saja masa belikan kek, makan dengan mereka,” katanya.

Difahamkan, kediaman asal mereka sebelum ini musnah dalam kebakaran dan sejak itu, sudah dua kali permohonan rumah baharu telah dibuat.

Bertindak atas rasa simpati, Ustaz Ebit menyediakan sebuah rumah sewa sebagai tempat tinggal mereka sekeluarga, manakala kosnya akan ditanggung buat sementara waktu.

Gambar: Ustaz Ebit Lew
Gambar: Ustaz Ebit Lew

“Saya sewakan rumah cantik, selesa, ada tiga bilik. Saya akan bayar sewa rumah untuk sebulan sementara mereka dapat rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Sudah dua kali mohon semenjak rumah terbakar. Tapi jika mereka terus ingin terus (tinggal) di situ (rumah sewa) pun saya akan terus bayarkan dengan gembira,” tambahnya.

Seperti biasa, bukan sahaja sebuah rumah yang selesa ‘dihadiahkan’ buat mereka, malah kelengkapannya juga turut sama diberikan.

“Saya hadiahkan peti ais, mesin basuh, televisyen, pemasak nasi, dapur, kipas, katil saiz Queen satu, katil bujang dua, barang dapur dan duit belanja.

“Tak berhenti Ganesh dan isteri cakap terima kasih. Mereka menangis terharu. Katanya kenapa banyak sangat ustaz. Mereka suka sangat tengok rumah baru, cantik dan selesa.

“Gembira dapat tengok senyuman anak-anak. Doakan perjalanan nak balik ke Kuala Lumpur. Sudah empat hari di luar,” katanya lagi.

Gambar: Ustaz Ebit Lew

Sumber: Ustaz Ebit Lew

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.