Siakap Keli
Gambar: Google

Mat Zan Sasar Bantu PDRM FC Kekal Dalam Liga Premier 2022

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) — Jurulatih berpengalaman Mat Zan Mat Aris berharap dapat membantu kelab bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) yang tersingkir ke Liga Premier musim depan untuk sekurang-kurangnya kekal dalam saingan liga itu pada musim seterusnya.

Beliau yang mengikat kontrak selama dua tahun dengan PDRM FC  mengakui cabaran terbesarnya selepas ini ialah membentuk barisan pemain yang lebih mantap memandangkan sebahagian besar skuad ‘The Cops’ merupakan anggota polis.

“Namun saya sukakan cabaran ini kerana saya pernah mengalami situasi sama ketika mengendalikan beberapa pasukan sebelum ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Man Zan pernah membantu Terengganu menjulang kejuaraan berganda Piala Malaysia dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 2001.

Beliau yang akan memulakan tugas secara rasmi bersama PDRM FC minggu depan tidak menolak kemungkinan mengekalkan pemain sedia ada sekiranya mereka dapat mempamerkan prestasi cemerlang.

“Namun saya mungkin akan menggabungkan sebahagian muka-muka lama dengan pemain baharu bagi memberikan cabaran kepada pasukan lain dalam saingan Liga Premier pada musim depan,” kata pengendali berusia 62 tahun itu.

Ditanya mengenai barisan pemain import, Mat Zan yang pernah mengendalikan beberapa pasukan seperti Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan berkata perkara itu bergantung pada peruntukan yang bakal diluluskan oleh pengurusan PDRM FC.

Beliau bagaimanapun menegaskan kehadiran pemain import adalah penting bagi membantu pasukan berkenaan meraih keputusan positif, selain dapat membimbing pemain tempatan meningkatkan kualiti permainan masing-masing.

Antara kejayaan yang pernah dikecapi Mat Zan selaku jurulatih ialah membantu Kuala Lumpur muncul juara Piala FA pada 1999 dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 2000, selain membimbing Melaka muncul juara Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2015 dan juara Liga Premier pada 2016.

PDRM FC yang dikendalikan oleh  Mohamad Ishak Kunju Mohamad tersingkir daripada Liga Super setelah menduduki tangga terakhir daripada 12 pasukan dalam saingan musim ini menerusi defisit satu mata daripada 11 perlawanan (dua keputusan seri dan sembilan kekalahan).

FAM sebelum ini mengenakan pemotongan tiga mata ke atas PDRM FC susulan kegagalan pasukan berkenaan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dalam tempoh ditetapkan.

Sumber: BERNAMA