Siakap Keli

Keluar RM10,000 i-Sinar, Ini Apa Yang Patut Dibuat Dengan Duit Tu

Ramai diantara korang pasti tahu bahawa i-Sinar adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu pencarum KWSP mengeluarkan wang dari Akaun 1. i-Sinar boleh dikatakan sangat berguna untuk korang yang mengalami masalah kewangan terutamanya semasa pandemik Covid-19.

Memang tak dinafikan bahawa ramai rakyat Malaysia yang pendapatannya terjejas akibat pandemik berbahaya ni. Ada yang hilang pekerjaan, ada yang bekerja tapi mengalami pengurangan gaji dan ada juga yang tidak dapat meneruskan perniagaan macam biasa.

Ditambah pula dengan perbelanjaan harian yang harus diuruskan, nescaya ramai daripada korang yang terpaksa berjimat-cermat agar tidak mengalami kerugian atau kesempitan wang di kemudian hari. Dengan adanya i-Sinar ini, sedikit sebanyak pasti akan dapat membantu meringankan beban korang.

Namun, katakanlah korang telah berjaya membuat pengeluaran tersebut, macam mana korang manfaatkan wang i-Sinar tu?

Korang kena ingat, walaupun permohonan i-Sinar telah berjaya, korang mestilah fikir masak-masak dulu sama ada korang perlu ataupun tidak untuk gunakan wang tu.

Mungkin ada di antara korang fikirkan itu duit hasil titik peluh korang, jadi suka hatilah nak  belanjakan wang tersebut. Tapi, harus diingat balik sebab apa korang memohon i-Sinar. Adakah ia satu Keperluan ataupun tidak?

Banyak  faedah yang korang boleh dapat melalui wang i-Sinar seperti memanfaatkannya sebagai ‘wang sokongan’ disebabkan oleh pendapatan yang terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tidak syak lagi, langkah KWSP ni sangat membantu disaat genting. Kalau kerajaan tak benarkan pengeluaran Akaun 1, siapa lagi yang boleh bantu dikala keadaan terdesak?

Apa patut buat dengan pengeluaran i-Sinar?

Sebagai simpanan kecemasan

  • Korang boleh gunakan wang ini untuk waktu kecemasan sebagai contoh kerosakan kenderaan, untuk rawatan hospital, dan berlaku perkara-perkara yang tidak dijangka seperti bencana alam.

Mengurangkan bebanan

  • Boleh korang gunakan untuk membuat pembayaran yang tertunggak seperti sewa rumah, hutang kereta, bank dan pelbagai lagi. Bagi yang sudah berkeluarga pula, korang mungkin boleh mengutamakan perbelanjaan tersebut untuk pendidikan anak-anak. Lebih-lebih lagi zaman serba moden ni, mesti ada yang perlukan laptop ataupun internet di rumah untuk pembelajaran.

Jangan guna untuk modal perniagaan

  • Diingatkan penggunaan wang berkenaan untuk memulakan perniagaan dianggap berisiko kepada korang. Jangan lupa, buka bisnes ni, sebelum dapat untung pasti ada masa-masa tertentu yang korang kena rugi dulu. Contoh macam kalau korang baru mulakan bisnes, pasti agak sukar mendapatkan pelanggan.Untuk korang yang ingin memulakan perniagaan, haruslah melalui saluran yang betul seperti mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan yang khusus, dan bukanlah bergantung sepenuhnya kepada wang i-Sinar. Ini kerana risikonya adalah tinggi jika korang ingin melaburkan wang tersebut dalam perniagaan.

Jangan mudah terpedaya dengan ‘scam-scam’ pelaburan

  • Sekarang ni banyak ‘scam’ yang tumbuh macam cendawan sejak permohonan i-Sinar dibuka. Jaga-jagalah duit dalam tangan tu. Kalau nampak pulangan tu macam tak masuk akal, maksudnya memang tak masuk akal. Korang kena sentiasa peka dengan scam-scam yang boleh menyebabkan korang ditipu.

Antara Keperluan dan Keinginan?

Pengeluaran wang i-Sinar ni memang banyak kebaikannya bagi korang yang hilang sumber pendapatan. Sedikit sebanyak dapatlah membantu menampung kelangsungan hidup. Walaubagaimanapun, kalau tiada keperluan untuk dikeluarkan atau masih mampu menanggung komitmen sedia ada, wang tersebut sebaiknya disimpan dan akan ‘beranak’ setiap tahun. Tidak salah sekiranya wang KWSP tu disimpan untuk digunakan selepas bersara nanti. Itulah yang dikatakan perancangan jangka panjang.

Tambahan pula, kerajaan juga telah sediakan pelbagai bantuan sebelum ni untuk rakyat Malaysia seperti Bantuan Sara Hidup, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), Skim mySalam dan banyak lagi.

Tak salah rasanya kalau korang manfaatkan dulu bantuan kerajaan yang diberi dan jadikan pengeluaran wang i-Sinar ni sebagai pilihan terakhir. Korang kena ingat yang wang ni untuk persaraan korang nanti dan bukan untuk hari ini. Berbalik kepada program i-Sinar ni, tak salah untuk korang keluarkan wang tu, tetapi korang kenalah berfikir dengan bijak sama ada perlu atau tidak untuk guna wang tersebut.

 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Siakap Keli (@siakapkeli)

Adib Mohd