Siakap Keli
Kredit: Daily Mail/Google

‘Bebas’ Dari Garisan Dan Tiada Cap Jari, Lelaki Ini Alami Kondisi Jarang Berlaku ‘Adermatoglyphia’

Cap jari merupakan salah satu cara pengenalan identiti seseorang selain ujian deoxyribonucleic acid (DNA). Malah, dikatakan pasangan kembar turut mempunyai cap jari yang berbeza antara satu sama lain.

Namun, berbeza dengan sebuah keluarga di Bangladesh yang tidak mempunyai cap jari disebabkan mutasi genetik yang mereka alami.

Lapor Daily Mail, Apu Sarker, 22 dan lelaki di dalam keluarganya mempunyai kondisi genetik yang membuatkan hujung jari mereka licin dan bebas daripada garisan yang menghasilkan cap jari.

Susulan itu, mereka mengalami beberapa kesukaran dalam urusan rasmi seperti mendapatkan kad pengenalan, passport dan lesen. Malah, mereka juga sukar mendapatkan kad sim di mana mereka perlu menyesuaikan cap jari dengan pangkalan data kebangsaan untuk pembelian. Situasi ini menyebabkan mereka terpaksa menggunakan nama ibu mereka untuk mendaftarkan pembelian kad tersebut.

“Mereka kelihatan keliru bila saya pergi membeli sim, perisian mereka membeku setiap kali saya meletakkan cap jari di atas pengesan,” kata Sarker, dilapor Daily Mail.

Bukan itu sahaja, kaum lelaki di dalam keluarga itu juga dikatakan menghadapi permasalahan untuk mengundi semasa pilihanraya. Ayah kepada Sarker sebelum ini telah diberikan kad pengenalan tanpa rekod cap jari bagi membolehkannya mengundi. Dia juga turut berjaya mendapatkan pasport selepas mengemukakan surat laporan kesihatan kepada pihak berwajib. Pun begitu, lelaki itu dikatakan gagal memperoleh lesen memandu biarpun lulus ujian hanya kerana kekurangan cap jari.

Gambar: Daily Mail

Akibatnya, dia telah disaman sebanyak dua kali ketika ditahan polis walaupun selepas menunjukkan jarinya bagi menjelaskan situasi sebenar, tulis portal itu.

Bukan hanya mereka, bapa saudara Sarker, Gopesh juga menghadapi permasalah sama apabila terpaksa menunggu dua tahun bagi mendapatkan pengesahan passport. Dia juga terpaksa berulang-alik sejauh kira-kira 350km ke ibu negara (Dhaka) untuk urusan tersebut.

Malah, dia juga perlu menandatangani laporan kehadiran secara manual ketika pejabatnya telah menggunakan sistem kehadiran melalui imbasan ibu jari.

Menurut Daily Mail, kaum lelaki di dalam keluarga itu menghidap kondisi jarang jumpa dikenali sebagai Adermatoglyphia.

Berdasarkan laporan US National Institute of Health, keadaan ini menyebabkan pesakit kekurangan garisan pada jari, tangan, ibu jari kaki dan kaki. Mereka juga dikatakan memiliki lebih sedikit kelenjar peluh pada tangan dan kaki di samping tompok timbul putih pada muka serta melepuh pada kulit.

Ia berpunca daripada mutasi pada gen SMARCAD1 dan merupakan keadaan penyakit keturunan yang mula mendapat perhatian pada 2007, kongsi Daily Mail. Keadaan genetik ini dikatakan hanya berlaku kepada beberapa buah keluarga di seluruh dunia (Medline Plus, n.d).

Sumber: Daily Mail, Medline Plus

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.