Paracetamol merupakan salah satu ubat yang sering digunakan oleh kebanyakan kita ketika demam. Bagaimanapun, wujud dakwaan kekerapan mengambil ubat ini boleh memberi kesan sampingan yang buruk kepada buah pinggang.
Bagi menjawab persoalan ini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah tampil menjelaskan perkara sebenar di sebalik dakwaan tersebut.
“Benarkah paracetamol yang diambil boleh kekal dalam badan bertahun-tahun lamanya?”
Menurut KKM, dakwaan paracetamol boleh kekal di dalam badan dan merosakkan buah pinggang hanyalah sebuah mitos.
Sebenarnya, kesan ubat itu akan berkurangan sebanyak 50 peratus selepas 4 jam pengambilan manakala 98 peratus daripada dos diambil akan dikeluarkan daripada badan dalam tempoh satu hari.
Di samping itu, KKM memberi garis panduan untuk pengambilan paracetamol antaranya menjarakkan masa pengambilan kepada empat hingga enam jam mengikut keperluan. Anda juga diingatkan agar mengambil dos tidak lebih daripada 4,000 mg sehari (bagi orang dewasa). Namun, jika demam tidak pulih selepas tiga hari, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi rawatan lanjut.
Benarkah paracetamol yang diambil boleh kekal dalam badan bertahun-tahun lamanya dan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang? @JomKenalUbat pic.twitter.com/ugaZac5Chb
— KKMalaysia🇲🇾 (@KKMPutrajaya) December 30, 2020
Sumber: KKM