Siapa yang tidak suka memiliki bangunan rumah kampung yang tersergam indah bagaikan teratak terhormat, kan?
Biasanya kos bagi membina sebuah rumah kampung pasti memakan nilai yang agak tinggi, tambahan pula bahan-bahannya sangat memerlukan penggunaan kayu yang berkualiti.
Namun tidak bagi Puan Zuraidah Zainul Abidin ini, kos yang dikeluarkan untuk membina rumah kampung idaman tidak sampai RM100,000.
Memiliki rumah kampung yang tersergam indah di Batu Pahat, Johor ini, Puan Zuraidah berkongsi tentangnya di laman Facebooknya hari ini.
Mari ikuti perkongsian ini.


Banyak orang tanya tentang kos sebenar rumah kami.
Kos, kalau orang bisnes, duit minyak pun masuk kos, sesi konsultansi pun masuk kos. Cetak pelan lantai masuk kos. Bil telefon pun kos. Jadi tak hairanlah kalau kontraktor beri kita lumpsum.
Kos rumah kami saya boleh cakap secara umum bawah RM80,000. Tapi tak boleh nak cakap jujur bab ini demi menjaga periuk nasi para kontraktor dan banyak pihak dalam bidang pembinaan, sebab kawan-kawan kami kebanyakannya dalam bidang ini.
Kenapa kos kami lebih rendah?
- Kami urus sendiri daripada beli barang, buat lukisan pelan lantai, cari tukang dan menyelia di tapak binaan.
- Kami guna barang terpakai, malah ada yang percuma. Jadi dah banyak kos dipotong di situ.
- Kami potong kos pada ‘finishing’.
Tapi apa yang penting kami dah buktikan, nak bina rumah bukan semestinya perlu ada duit sekelepuk dalam tangan.
Dan kami dah buktikan nak bina rumah kayu bukanlah semahal yang banyak orang cakap.
Buat ‘homework’ lebih. Ini tip utama.


Biar saya cakap jujur dan tiada hijab di sini. Encik suami melarang keras saya naikkan perkongsian tentang Teratak Youhana Aeysha atas pengalaman pahit dia.
Saya pula naikkan perkongsian sebab niat nak buka minda dan buka mata banyak orang yang hakikat bahawa nak bina rumah ini sebenarnya mudah bila kita jumpa ‘suis’ yang betul.
Akhirnya encik suami juga akur dan nampak apa yang saya nak kongsikan dan atas izin Allah rezeki kami terbuka luas daripada perkongsian ini.
Kalau kami kata seluruh hidup kami berubah 360 darjah macam keterlaluan kan bunyinya. Tapi ini memang benar! Saya berkongsi kerana Allah. Titik.
Banyak guna bahan terpakai
Biasanya kalau bina rumah kampung bersaiz besar sebegini, pasti kosnya agak besar. Namun bagi Puan Zuraidah, jalan terbaik untuk jimatkan kos adalah bergantung dengan barang-barang terpakai.
Antara barang terpakai yang digunakan ialah tingkap, pintu dan perabot lama, manakala kayu-kayu dan tiang rumah juga daripada kayu terpakai.
“Kami cari di kedai kayu terpakai di sekitar Batu Pahat. Sebab itu saya kata banyak ‘homework’ untuk sediakan bahan binaan saja dah ke sana ke sini kumpul. Lagipun kayu lama lebih berkualiti berbanding kayu baru dari kilang.

“Kami gunakan apa yang orang buang. Tingkap dapur kami minta daripada seorang makcik di sekitar kampung berdekatan,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.
Difahamkan, teratak ini dibina bermula sejak awal Februari lalu, sebelum mereka sekeluarga ‘merasmikannya’ pada Mei kemudian dan sehingga hari ini, ia masih lagi dalam proses kemasan.
Mengabadi kasih buat arwah anak
Maklum Puan Zuraidah, tujuan asal teratak itu dibina adalah sebagai ‘dunia’ anak bongsunya, Youhana Aeysha untuk membesar dengan suasana kampung.
“Saya dan suami memang sukakan kampung juga. Bebas dan luas untuk bereksperimen. Begitulah kami rancang untuk besarkan Youhana tapi tidak kesampaian,” katanya yang juga pernah berkhidmat sebagai guru di sebuah pusat tusyen sebelum ini.
Bagaimanapun, niat murni mereka tidak kesampaian apabila si kecil itu terlebih dahulu pergi menghadap Ilahi pada 5 Disember 2018 lalu akibat komplikasi kesihatan ketika usianya satu tahun tiga bulan.
“Hospital nak cairkan darah beku di dalam jantung dengan heparin, ia terlalu cair. Pembuluh darah pecah,” jelas ibu kepada empat cahaya mata ini.
Usai pemergian arwah Youhana, pelan lantai yang sudah siap dirangka itu pada asalnya mahu ditukar menjadi pondok letak kereta sahaja.
Namun atas dasar cinta, Puan Zuraidah tekad untuk meneruskan juga pembinaan teratak tersebut sebagai usaha dan tanda mengenang pemergian anak bongsunya itu.

“Sebagai tanda kasih sayang yang kami nikmati sejak kehadiran Youhana juga.
“Sebab bila mengandung dan melahirkan dia, hidup kami sekelurga berubah jadi lebih baik dari semua aspek,” luahnya.
Maka dengan itu, pembinaannya diteruskan juga dan setelah berdiri tersergam indah kini, Puan Zuraidah menamakannya sebagai Teratak Youhana Aeysha.
Manakala jenazah arwah Youhana pula disemadikan di pusaranya yang terletak selang satu kebun sawit berdekatan.
Kini rumah kayu yang tersergam indah di Kampung Parit Lapis Batu Puteh, Batu Pahat, Johor ini didiami oleh Puan Zuraidah bersama suami dan tiga lagi anak tercinta.
Walaupun Youhana telah tiada, namun kewujudannya masih seakan terasa dalam kenangan. Salam takziah buat adik Youhana Aeysha. Moga adik tenang di sana.

Banyak orang tanya tentang kos sebenar rumah kami.Kos.. Kalau orang bisnes, duit minyak pun masuk kos, sesi…
Posted by Zuraidah Zainul Abidin on Tuesday, December 29, 2020
Sumber: Zuraidah Zainul Abidin