Putrajaya, 30 Dis – Polis Daerah Petaling Jaya telah berjaya menahan dua anggota polis dipercayai terlibat dalam pemerasan ke atas seorang penduduk tempatan pada minggu lalu.
Menurut kenyataan IPD Petaling Jaya, pihaknya telah menerima satu laporan pada Rabu (23 Dis 2020) oleh seorang lelaki berusia 52 tahun yang mendakwa telah diperas dua anggota polis.
Pengadu mendakwa suspek yang menaiki kereta peronda polis telah menahannya berhampiran RnR Sungai Buloh atas kesalahan membeli nombor ekor haram, tulis kenyataan itu.
Pengadu kemudiannya diminta membayar RM20,000 jika ingin dilepaskan. Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, pengadu hanya mampu membayar RM4,000 dan terus diperas untuk membayar RM5,000 kepada suspek terlibat.
Berdasarkan kenyataan itu, pengadu kemudiannya dilepaskan selepas menyerahkan RM5,000 kepada salah seorang suspek.
Susulan itu, pihak polis IPD Petaling Jaya telah membuat serbuan dan penahanan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun pada Khamis (24 Dis 2020).
Antara yang dirampas dalam serbuan di sebuah kawasan di Sri Hartamas itu adalah sebuah kereta peronda polis jenis Proton Preve dan kad kuasa polis, tulis kenyataan itu.
Penahanan tersebut membawa kepada tangkapan seorang lagi anggota polis berusia 38 tahun pada jam 9 malam hari yang sama. Kedua-dua mereka kini direman 3 hari dan bakal didakwa di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan. Mereka telah diberi jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan.
SIDANG MEDIA ACP NIK EZANEE BIN MOHD FAISAL KETUA POLIS DAERAH PETALING JAYAKEJAYAAN-KEJAYAAN TANGKAPAN MELIPUTI KES PECAH PEMERASAN DAN KES SAMUN OLEH POLIS DAERAH PETALING JAYA
Posted by Polis Daerah Petaling Jaya on Wednesday, December 30, 2020
Sumber: IPD Petaling Jaya