Tanpa perkauman, hidup dalam komuniti pelbagai bangsa pasti lebih harmoni. Seperti kisah dikongsikan seorang wanita, VR Meena Kumari dalam group Malaysiaku Dulu-dulu yang menceritakan kenangannya membesar dalam masyarakat majmuk di Palong kira-kira 34 tahun lalu.
Menurut Meena yang berkongsi pengalaman di tempatnya, masyarakat pada ketika itu bersatu hati dan tidak pernah bertelingkah kerana berbeza agama. Malah, mereka saling menghormati dan bertimbang rasa antara satu sama lain di samping bergaul seakan keluarga.
Menariknya, Meena juga mengaku pernah menyertai nasyid dan memakai tudung serta baju kurung ketika persembahan bersama teman-temannya.
Ini tahun 1986. Masuk nasyid tak ingat tajuk lagu. Tapi bunyi macam Buta Mata Tak Nampak Cahaya Dunia. Rasanyalah. Siap pakai tudung. Baju kurung mak jahit dari kain Saree. Tak ada isu pun sebab di Palong kami hormat perpaduan.
Di sekolah semua macam adik-beradik. Masing-masing ada gelaran kak long, kak lang. Kami tak pernah bertelingkah sebab agama. Kalau pelajar Islam baca doa masa perhimpunan, pelajar bukan Islam senyap tanda hormat. Bila Deepavali rumah kita orang penuh dengan budak-budak. Ayah saya siap bagi duit Raya lagi. Muhibah rasanya. Malam pulak, ziarah menziarahi dari pakcik makcik.
Kalau semua rakyat Malaysia bersatu hati, mungkin memori yang terpahat ni boleh dihidupkan kembali. Kalau ayah lambat jemput dari sekolah bila sekolah petang, jiran-jiran jemput kita orang. Kadang-kadang cikgu hantar.
Waktu rehat kita orang kongsi makanan. Walaupun berlainan Agama kami hormat dan tahu beza Halal dan Haram.
Jiran saya panggil saya Pidah. Macam nama Melayu. Sebab dalam keluarga semua panggil saya Kavitha.

Sumber: VR Meena Kumari