Seorang kanak-kanak perempuan di Mexico yang didakwa menjadi mangsa bertahun-tahun penderaan oleh ibu bapanya kini meninggal dunia, lapor Daily Mail.
Menurut portal itu, kanak-kanak yang turut dipercayai diperkosa itu pernah merayu kepada doktor yang merawatnya agar membiarkan dirinya mati.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan gadis berusia 7 tahun itu telah meninggal dunia di Hospital de Las Margaritas pada 28 Disember lalu. Mangsa telah dimasukkan ke wad rawatan rapi selepas didakwa dipukul dengan teruk pada 21 Ogos lalu.
Kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia akibat kegagalan organ, lapor portal tersebut.
“Saya nak mati, jangan rawat saya lagi. Saya taknak pulang kepada ibu bapa saya, nanti mereka boleh pukul saya lagi,” kata gadis itu ketika tiba di hospital.
Mangsa yang dibawa ke hospital oleh jirannya itu dikesan mengalami pendarahan dalaman, tanda-tanda pemerkosaan, kesan terbakar teruk pada punggung dan paru-paru ‘runtuh’
Tambah portal itu, akibat kecederaan terbakar yang merosakkan otot tersebut, doktor terpaksa melakukan pembedahan pemindahan kulit ke atasnya.
Susulan itu, ibu dan bapa mangsa kini telah ditahan dan disiasat atas tuduhan mendera anak mereka, tulis Daily Mail.
Sementara itu, polis turut mengesan bapa saudara mangsa yang didakwa telah memperkosa kanak-kanak itu beberapa kali.
Gadis itu dikatakan mempunyai seorang adik perempuan yang sebelum ini meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas ketika tidur pada Jun lalu. Namun, polis telah membuka semula kes berkenaan susulan kematian kanak-kanak ini.
Gadis itu sebelum ini dilaporkan telah dimasukkan ke hospital dengan tanda-tanda kecederaan serius di seluruh badan sejak 2019, termasuk Februari, Mei dan Ogos 2020.
Sumber: Daily Mail