KUANTAN, 31 Dis (Bernama) — Tidak betah hanya duduk dan tunggu untuk mencari dana menerusi media sosial, seorang lelaki mengambil inisiatif berjalan kaki sejauh 320 kilometer (km) dari Johor ke Pahang, bertujuan memberi kesedaran dan mencari dana bagi pesakit kanser kanak-kanak.
Misi secara solo itu dilakukan oleh Muchlis Ilyas, 57, atau mesra dipanggil Abu bagi mencari dana untuk sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS).
Kembara itu bermula dari Desaru, Johor pada 25 Dis lepas dan berakhir di Esplanade, di sini hari ini.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata, kini adalah masa untuknya memberi semula sumbangan kepada masyarakat, selepas berhenti kerja sejak tujuh tahun lepas.
“Saya tidak ada apa-apa untuk beri kepada pesakit ini kecuali kaki ini yang saya wakafkan untuk mencari bantuan untuk mereka atau mana-mana pihak yang memerlukan.

“Malah apabila berlaku pandemik COVID-19, kanak-kanak ini seolah-olah dilupakan, justeru saya terpanggil untuk berbuat sesuatu untuk mereka dan keluarga,” katanya yang mengalirkan air mata dan melakukan sujud syukur sejurus tiba di Esplanade kira-kira 11.15 pagi tadi.
Meskipun mengalami kecederaan di kaki dan berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu, itu bukan halangan bagi anak kelahiran Kerinchi, Jambi Indonesia itu, untuk melakukan misi berkenaan.
Tambah Muchlis, sepanjang perjalanan dia tidak menginap di hotel, sebaliknya membawa khemah menggunakan troli hijau kuning tertera perkataan #Walk4CancerKidsMalaysia, yang turut digunakan bagi mengisi air, pakaian, ubat-ubatan dan biskut.

“Sehari secara purata saya berjalan sekitar 50 hingga 60km dan saya sudah mula melakukan latihan sejak November lepas. Sepanjang melakukan misi ini terutama ketika berjalan di kawasan hutan saya juga beberapa kali terjumpa binatang liar, antaranya ular tedung dan kucing hutan,” katanya yang mendapat taraf penduduk tetap pada 2012.
Bagaimanapun, apa yang lebih menyentuh hatinya adalah apabila menerima sumbangan daripada penduduk kampung yang berkeras menghulurkan wang untuknya.

“Ada yang turun dari kenderaan mereka semata-mata untuk menyapa dan memberi wang, saya tidak boleh terima sumbangan dan minta mereka terus lakukan transaksi kepada NGO, tetapi mereka tetap mahu bagi tunai. Saya sudah serahkan wang yang diterima sekitar RM300 ke RM400 kepada KIDS,” katanya.
Berkongsi mengenai perancangan asalnya, Muchlis berkata pada mulanya dia merancang untuk berjalan dari Mekah ke Madinah bagi membantu golongan tidak bernasib baik, namun rancangan itu tergendala disebabkan pandemik COVID-19.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk melakukannya di Malaysia dahulu dan insya-Allah saya akan meneruskan misi seterusnya iaitu berjalan kaki dari Kelantan ke Terengganu pada Mac depan, Kedah ke Perak sekitar Jun dan sebelum ke Johor semula dari Melaka pada November 2021,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pengerusi KIDS Hamidah Tajudin berkata pihaknya amat tersentuh atas usaha yang dilakukan Muchlis semata-mata bagi membantu meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak-anak penghidap kanser.
“Saya terharu dengan apa dilakukan beliau, jasanya sungguh besar untuk kami meskipun dia tidak mempunyai anak kanser tetapi dia tetap berusaha untuk membantu kami mencari dana membantu kelangsungan hidup anak-anak ini,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun 564098508578 (Maybank) dan layak mendapatkan pengecualian bayaran cukai.
— BERNAMA