Siakap Keli
Gambar : Google

Nak Masuk Tahun Baru, Ini Syarat Bayar Zakat Perniagaan Semua ‘Businessman’ Wajib Ambil Tahu

Kewajipan membayar zakat adalah sama seperti mendirikan solat. Hal ini kerana zakat termasuk dalam rukun Islam ke-4 yang wajib ditunaikan. Dalam Al-Quran banyak disebut berkaitan zakat dan diselitkan sekali dengan solat. Maka kewajipan membayar zakat adalah sama seperti kita menunaikan solat fardhu.

“Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan segala kebaikan yang kamu kerjakan untuk dirimu, kamu akan mendapatkannya (pahala) di sisi Allah. Sungguh, Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan” Al-Baqarah, Ayat 110

Zakat perniagaan dan zakat pendapatan wajib dibayar. Jika anda melakukan apa jua jenis perniagaan, sama ada menjual barang, menanawarkan perkhidmatan, menghasilkan bahan mentah dan sebagainya, hasil pernigaan tersebut wajib dikenakan zakat mengikut beberapa syarat.

Begitu juga dengan zakat pendapatan. Mereka diwajibkan bayar zakat ke atas mana-mana harta hasil daripada perolehan usaha tanpa sebarang proses pertukaran (jual-beli), secara ringkasnya ia diperoleh dengan sebabnya tersendiri seperti gaji, upah kerja, elaun, hadiah dan lain-lain.

Apa itu zakat perniagaan?

Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan dan sebagainya dengan tujuan diperniagakan.

Ia mempunyai banyak jenis sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya.

Syarat wajib zakat perniagaan

(1) Islam

(2) Sempurna milik

(3) Merdeka

(4) Cukup haul (biasanya setahun)

(5) Cukup nisab (berubah mengikut harga pasaran emas)

Peniaga wajib membayar kadar zakat sebanyak 2.5%  atau 1/40 harga nilai kesemua barang yang dijual atau perkhidmatan yang dikenakan bayaran pada tarikh cukup haul.

Bagaimana kaedah pengiraan peniaga seperti peniaga runcit, pasar malam, restoran dan sebagainya?

Bagi pemilik perniagaan seperti yang disebutkan di atas, zakat akan ditaksir dengan mengambil kira semua hasil, jualan, perolehan dan dikumpulkan dan dikira jumlahnya. Kemudian senarai kos, perbelanjaan, tanggungan terlibat, pengoperasian seperti sewa dan bil-bil utiliti misalnya hendaklah ditolak dari jumlah jualan kasar yang dibuat. Bakinya (untung bersih) yang melebihi nisab akan dikenakan zakat sebanyak 2.5%.

Secara mudahnya, kaedah pengiraan ini ditaksir dari keuntungan bersih yang diperolehi setelah ditolak segala kos dan perbelanjaan berkaitan.

Bayar zakat perniagaan

Bagi memudahkan urusan anda dalam membuat pembayaran zakat perniagaan dalam musim Covid-19, anda boleh membuat pembayaran secara atas talian sahaja. Dengan cara ini bukan sahaja mudah dan cepat, malah anda boleh melihat jumlah zakat yang dihitung menggunakan kalkulator zakat. Boleh rujuk pada portal  https://bayarzakatmalaysia.my/zakat-perniagaan/ untuk lebih memahami cara pengiraan zakat perniagaan.

Oleh itu, jika anda seorang peniaga beragama Islam, pastikan anda membayar zakat ke atas perniagaan anda untuk membersihkan harta sambil membantu ummah, terutama sekali asnaf yang bakal menerima hasil daripada bayaran zakat anda.

Apa itu zakat pendapatan?

Zakat pendapatan adalah sebahagian kecil bayaran yang kita buat selepas menerima bayaran seperti gaji bulanan, tunggakan gaji, elaun, bonus atau dari sumber lain seperti pekerjaan tambahan (overtime atau part time).

Begitu juga jika kita menerima wang sewaan rumah, bangunan atau kenderaan. Bayaran zakat pendapatan ini dibuat kepada pejabat zakat yang berhampiran.

Syarat wajib zakat pendapatan

(1) Islam yang dewasa

(2) Memiliki pendapatan sepenuhnya

(3) wang pendapatan mencapai nilai minimum (nisab) yang ditetapkan mengikut negeri.

Berapa jumlah yang perlu bayar zakat pendapatan?

Pembayaran zakat pendapatan adalah sebanyak 2.5% dari jumlah pendapatan yang kita peroleh. Justeru, baki pendapatan sebanyak 97.5% kita boleh gunakan atas keperluan.

Cara bayar zakat pendapatan

Pembayaran zakat pendapatan boleh dibayar melalui di kaunter pejabat zakat. Cara ini membolehkan anda bertanya dengan lebih lanjut maklumat berkaitan pendapatan yang anda perolehi. Namun, jika anda sudah yain dan pasti atau ingin membuat pembayaran lebih boleh dibuat melalui online banking atau potongan gaji majikan secara tetap.

Jika anda ingin membuat pembayaran secara atas talian atau ingin mengira jumlah kiraan dalam zakat pendapatan, boleh rujuk portal https://www.zakat2u.com.my/kiraan/zakat/pendapatan untuk maklumat lebih lanjut.

Kesimpulan

Sesibuk mana pun kita dengan urusan dunia, jangan abaikan tanggungjawab untuk menunaikan zakat. Walaupun zakat wajib bagi orang islam, ia sebenarnya melatih kita untuk sentiasa menderma. Menderma akan membantu mereka yang sangat memerlukan, menjalinkan rasa kasih-sayang dengan orang yang tidak dikenali serta menjadikan hidup kita lebih berkat dan bahagia. Bahkan, mereka yang menunaikan zakat juga akan lebih menyuburkan sumber harta yang diperoleh.

Sumber: Zakat.com

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.