Siakap Keli

PM: Lima Keutamaan Strategi Bersepadu Pemulihan Negara Pasca Covid-19

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) — Kerajaan menggariskan lima keutamaan pada 2021 dalam satu strategi bersepadu pemulihan negara pasca-COVID-19 bagi memulihkan situasi di Malaysia sebaik dan secepat mungkin, kata Perdana Menteri hari ini.

Memperincikan perkara tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keutamaan pertama adalah mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin COVID-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara.

“Kedua, memperkukuh ekonomi prihatin rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca-COVID-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Ketiga memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan dan keempat, menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Tahun Baharu 2021 bertemakan ‘Bersemangat Melangkah ke Tahun Baharu 2021’.

Muhyiddin berkata keutamaan kelima adalah memperkukuh hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan berikhtiar untuk meningkatkan tahap kesihatan awam di negara ini berasaskan prinsip mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Jelasnya, pencegahan awal adalah penting dan beliau turut menegaskan bahawa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan perlu terus dipatuhi, bersesuaian dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Menyentuh keutamaan kedua, Muhyiddin menjelaskan bagi memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara, Belanjawan 2021 telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.

“Belanjawan terbesar dalam sejarah negara ini amat kritikal bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Kerajaan akan terus membangunkan jaringan keselamatan sosial seperti bantuan tunai secara langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat, skim perlindungan insurans khusus  B40 dan memperkukuh sistem kebajikan negara,” katanya.

Beliau berkata ia bertujuan memastikan nasib golongan rentan termasuk B40, warga emas dan orang kurang upaya sentiasa terbela.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.