BAU (Sarawak), 31 Dis — Sektor awam dan swasta di Sarawak akan berganding bahu dalam usaha mencapai impian pelan induk pembangunan “Greater Bau” dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Katanya beliau yakin banyak aktiviti ekonomi akan muncul di bawah pelan induk bagi mengubah kawasan Bau, Lundu, Sematan, Santubong dan Pantai Damai itu, dengan aktiviti pelancongan dan pertanian dijadikan sebagai aktiviti teras, selain aktiviti perlombongan mineral.
“Dengan semua perancangan ini, penduduk Bau, dan seluruh penduduk Sarawak secara umumnya memiliki masa depan yang cerah kerana sekarang kita mengawal aktiviti minyak dan gas kita sendiri (yang akan menghasilkan pendapatan tambahan kepada negeri),” katanya semasa melancarkan sambutan “Bau Bicentennial Celebration 2020 (1820 – 2020)” di Tasik Biru di sini.
Menurut beliau kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM233 juta bagi tujuan itu, termasuk bagi memenuhi permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan utiliti dan infrastruktur di daerah sini.
Beliau berkata sejumlah RM129 juta telah diluluskan dua tahun lepas, termasuk RM40 juta dibelanjakan bagi kerja-kerja menaik taraf pembekalan air di kawasan sini sehingga Sematan di Lundu, yang akan disiapkan tahun depan.
Abang Johari berkata kerajaan negeri juga bersetuju dengan cadangan untuk membangunkan Tasik Biru, kawasan yang satu ketika rancak dengan aktiviti perlombongan di daerah Bau, untuk dijadikan sebagai pusat peranginan dan akan menggunakan teknologi terbaru untuk membersihkan air tasik kawasan berkenaan.
“Sebagai Ketua Menteri, saya ingin mengubah Sarawak menjadi kuasa besar dari segi ekonomi, supaya lebih ramai golongan profesional kelahiran Sarawak akan kembali bagi merebut peluang yang diwujudkan oleh keadaan ekonomi yang baik ini,” katanya.
— BERNAMA