Siakap Keli
kartel daging haram
Kredit: Bernama

Syarikat Dipercayai Dalang Kartel Daging Haram Akan Didakwa Tidak Lama Lagi -Rosol

KUALA BERANG, 31 Dis (Bernama) — Syarikat pengimport daging sejuk beku yang dipercayai dalang kartel daging haram, bakal didakwa di mahkamah tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata, kertas siasatan terhadap syarikat yang beralamat di Johor Bahru itu hampir lengkap, selepas kementerian memperoleh keputusan analisa daging daripada Jabatan Kimia, Isnin lepas.

“Siasatan terhadap syarikat dalang kartel daging ini sudah hampir lengkap dan kita akan serahkan kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat, untuk diambil tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Food Bank Malaysia di Kampung Lubuk Periuk, di sini hari ini.

Rosol berkata, syarikat berkenaan dipercayai membuka bungkusan kotak daging yang diimport, kemudian membungkusnya kembali dengan meniru logo jenama syarikat pengeluar daging sejuk beku terkemuka di Malaysia, dan meletakkan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang tidak sah.

Beliau berkata rakyat tidak perlu gusar, kerana berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), syarikat tersebut hanya mengedarkan daging kurang daripada satu peratus untuk pasaran di seluruh Malaysia.

Dalam pada itu katanya, masa yang agak lama terpaksa diambil untuk membawa syarikat itu ke muka pengadilan, berikutan sampel daging yang terlibat perlu dihantar ke makmal Jabatan Kimia terlebih dahulu.

“Bila kita hendak tuduh (di mahkamah) daging tersebut perlu dihantar ke makmal untuk diperiksa sama ada betul ke daging kanggaru, daging kuda, daging babi atau apa-apa sahaja daging. Jadi ia mengambil masa dan biasa masa yang diambil oleh Jabatan Kimia adalah sebulan.

“Tetapi oleh kerana ini satu perkara yang mendesak dan menjadi kegusaran masyarakat, Jabatan Kimia memberi kerjasama sangat baik dan mempercepatkan keputusan pengesahan DNA (asid deoksiribonukleik) daging-daging tersebut,” katanya.

Sementara itu Rosol berkata kementerian mencadangkan penggunaan sistem ‘QR code’ ke atas semua barangan makanan yang diimport, termasuk daging di semua pintu masuk negara bagi menjadikan kerja pegawai dan kakitangan yang berkaitan lebih mudah dan efisien.

“Kita akan dapatkan kerjasama semua yang terlibat termasuk Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), MAQISD (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan sebagainya.

“Sekarang ini pemeriksaan di pintu-pintu masuk negara dibuat secara manual, jadi terdapat risiko pegawai dan kakitangan yang bertugas tersilap atau terlepas pandang,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Rosol berkata, kementerian itu setakat ini tidak menerima laporan sebarang kenaikan harga daging tempatan dan daging ayam, meskipun dipercayai kini terdapat masyarakat Islam di negara ini mengelak dari memakan daging import berikutan meragui status halalnya.

Namun katanya pemantauan akan terus dijalankan bagi mengelakkan kenaikan harga daging tempatan dan daging ayam agar rakyat tidak merasa terbeban.

Terdahulu Program Food Bank Malaysia anjuran KPDNHEP dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, menyaksikan seramai 90 ketua isi rumah di Kampung Lubuk Periuk yang terjejas dengan banjir baru-baru ini menerima sumbangan bekalan makanan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.