Bagi yang berhajat untuk mengerjakan umrah, terdapat beberapa syarat yang mesti kita patuhi untuk memastikan umrah yang kita kerjakan diterima oleh Allah SWT. Ia adalah sebagai rujukan dan panduan untuk kita mengetahui perkara yang boleh dibuat dan perkara yang dilarang.
Menurut para Ulama’, umrah hanya wajib ditunaikan sekali seumur hidup bagi orang yang mampu (sekali dengan haji). Kecuali bagi yang bernazar, maka dia wajib memenuhi nazarnya.
Syarat Sah Umrah
Syarat adalah perkara penting untuk seseorang yang menunaikan ibadah. Sekiranya seseorang berniat hendak melakukan ibadah namun ia tidak cukup syarat, maka ibadah umrahnya bukan sahaja tidak wajib dikerjakan, malahan tidak sah jika dilakukan. Syarat sah menunaikan umrah adalah seperti berikut:
(1) Islam – Tidak wajib dan tidak sah dilakukan oleh orang kafir dan orang yang telah murtad.
(2) Baligh – Tidak wajib bagi kanak-kanak. Sah jika dilakukan tetapi tidak menggugurkan kewajipannya mengerjakan umrah setelah dewasa kelak.
(3) Berakal – Tidak wajib kepada orang tidak berakal iaitu gila dan tidak sah jika dilakukan.
(4) Berkuasa – Berkuasa dengan menunaikannya sendiri ataupun berkuasa mengerjakannya dengan pertolongan orang lain (badal umrah).
(5) Merdeka – Tidak wajib kepada hamba abdi tetapi umrah yang dilakukan adalah sah dan diterima.
Rukun Umrah
Rukun umrah adalah wajib dilakukan oleh jemaah. Pelaksanaan rukun umrah mesti dilakukan kepada diri sendiri dan tidak boleh diwakilkan kepada orang lain. Jika anda meninggalkan salah satu rukun umrah secara sengaja atau tidak sengaja, maka ibadah umarah adalah tidak sah.
Antara rukun umrah adalah seperti berikut :
(1) Niat
Setiap ibadah hendaklah dimulai dengan niat. Jika seseorang itu tidak berniat sama ada sengaja atau terlupa umrahnya menjadi tidak sah. Berniat umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Berikut ialah lafaz niat umrah:
Ertinya : “Sahaja aku berniat umrah dan berihram aku untuk melaksanakannya kerana Allah Ta’ala.”
(2) Tawaf
Mengelilingi kaabah 7 pusingan. Niat tawaf adalah “Aku berniat tawaf umrah di Kaabah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala.”
(3) Sai’e
Syarat sah saie ialah dilakukan selepas tawaf, dengan tujuan hendaklah semata-mata untuk saie. Bermula dari bukit Safa dan tamat di bukit Marwah, sempurna bilangan 7 kali dari kaki bukit ke kaki bukit. Perjalanan tidak boleh terputus, seperti melencong keluar melalui satu pintu dan masuk semula dengan pintu lain.
(4) Tahallul
Mencukur atau menggunting sebahagian rambut di kepala selepas selesai saie bagi menandakan telah selesai mengerjakan umrah. Memotong rambut sekurang-kurangnya 3 helai. Adalah afdhal bagi lelaki untuk bercukur. Bagi yang tiada rambut di kepala, memadai melalukan pisau di kulit kepala. Bagi wanita, boleh memotong mana-mana bahagian rambut asalkan tidak kurang dari 3 helai.
(5) Tertib
Setiap rukun yang dilakukan mesti mengikut turutan dengan tertib.
Persiapan Diri Menunaikan Umrah
Bagi mereka yang menunaikan ibadah umrah pasti mempunyai niat yang sama iaitu kerana Allah SWT. Antara perkara yang perlu disiapkan dalam menunaikan umrah ialah :
(1) Mendapatkan ilmu yang cukup
(2) Menggunakan sumber wang yang halal
(3) Menjaga kesihatan jasmani dan rohani
(4) Menyempurnakan semua rukun Islam
(5) Sentiasa bersedekah
(6) Menunaikan solat berjemaah
(7) Menjauhkan diri dari amalan syirik dan khurafat
(8) Memperbaiki diri dari akhlak yang tercela
(9) Membersihkan diri dari dosa
(10) Berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT.
Agensi Umrah Berdaftar
Untuk menunaikan umrah, pastikan anda mendaftar dengan syarikat yang mempunyai Lesen Khas Umrah. Buat senarai semak seperti di bawah:
a. Semak Agensi Pengelola Umrah berstatus muassasah terus dengan Sistem Kerajaan Arab Saudi
b. Senarai Agensi Pengelola Umrah Yang Berstatus muassasah yang dikeluarkan oleh kedutaan Arab Saudi
c. Senarai Syarikat Mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) Berstatus Muasassah
d. Senarai Syarikat Mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) Berstatus Bukan Muasassah
Sumber: MyGovernment