Siakap Keli
Gambar: Bernama

Jalan Kuantan-Segamat Ditutup Ekoran Tanah Runtuh

KUANTAN, 1 Jan (Bernama) — Jalan Kuantan-Segamat di Pekan, dekat sini ditutup buat sementara waktu kepada semua kenderaan bermula hari ini berikutan kejadian tanah runtuh di Kilometer 63 dan 73 jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata runtuhan itu berlaku kira-kira 10 pagi dipercayai akibat hujan lebat selama beberapa jam dan air bukit yang turun dengan deras di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan atau kecederaan yang dilaporkan semasa runtuhan berlaku. Untuk keselamatan pengguna jalan raya, jalan tersebut ditutup bagi kerja baik pulih,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Razli berkata sepanjang penutupan jalan itu, pengguna jalan raya dari Kuantan yang ingin ke Segamat boleh menggunakan laluan alternatif dari bandar Pekan ke Paloh Hinai untuk menuju ke Leban Chondong dan Muadzam Shah di Rompin.

Sementara pengguna jalan raya dari Segamat ke Kuantan pula dilencongkan ke Leban Chondong sebelum masuk ke Pekan melalui Jalan Nenasi-Pekan-Kuantan.

— BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa