Siakap Keli
Gambar: Bernama

Lima Nelayan Dikhuatiri Hilang Selepas Bot Karam Dilanda Ribut Di Perairan Pulau Perhentian Semalam

BESUT, 1 Jan (Bernama) — Lima nelayan tempatan termasuk seorang tekong dikhuatiri hilang setelah bot dinaiki mereka dipercayai karam dalam kejadian di perairan Pulau Perhentian tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian yang berlaku kira-kira 1 tengah hari itu dipercayai akibat bot mereka mengalami kebocoran dan dimasuki air serta dipukul ribut akibat cuaca buruk.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh Maritim Tok Bali dan anggota polis Pulau Perhentian sejurus laporan diterima pada 7.45 malam semalam namun sehingga kini kesemua mangsa masih belum ditemukan,” katanya.

Katanya difahamkan sebelum kejadian berlaku, tekong bot terbabit sempat menghubungi sebuah bot nelayan yang lain meminta bantuan kerana bot mereka dimasuki air dan memaklumkan mereka berada berdekatan perairan Kelantan dan Pulau Perhentian.

Namun Abdul Rozak berkata selepas itu bot berkenaan tidak lagi dapat dihubungi dan dikesan.

Katanya mangsa yang dikhuatiri hilang adalah dua beranak iaitu tekong bot,  Tuan Azaha Tengku Long @ Mansor, 46, dan anak lelakinya dikenali sebagai Mat Rizal, 21, dari Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan.

Sementara tiga lagi awak-awak dikenali sebagai Mamat, 24, dari Tok Bali, Kelantan; Sakri, 30, dari Pasir Puteh, Kelantan; dan Ujang, 30, dari Penarik, Setiu.

— BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa