Seorang wanita yang pernah dijangkiti COVID-19 mendakwa virus itu menyebabkan deria baunya berubah, lapor Metro UK.
Kongsi Sarah Govier, 44, kini bau kopi seakan asap kereta, ubat gigi berasa seperti petrol dan coklat juga menjadi jijik bagi dirinya.
Menurut portal itu, Sarah yang menghidap COVID-19 pada Mei lalu telah kehilangan deria bau. Namun selepas berbulan-bulan, dia kini menjadi terlebih sensitif terhadap bau urin dan peluh.
“Bawang putih dan merah berbau sangat teruk. Saya tak boleh gambarkan. Dan disebabkan ia ada hampir dalam setiap resipi atau makanan, ia membuatkan tugas memasak cukup mencabar.
“Saya perlu membau semua benda sebelum makan dan rasanya seperti binatang yang pelik,” katanya seperti dilapor Metro UK.
Katanya, rakan sekerjanya disahkan positif pada April namun tidak menunjukkan simptom kebiasaan COVID-19 seperti batuk dan demam. Namun suatu hari, Sarah mengalami rasa letih dan sakit tekak selepas pulang ke rumah.
Dia kemudiannya menjalani ujian COVID-19 dan disahkan positif virus itu serta mengalami simptom hilang deria bau.

“Saya sedang masak kari dan sekejap saya boleh bau masakan itu. Tetapi apabila saya cuba rasa, saya tak rasa apa-apa,” katanya.
Malah wanita itu juga menyembur minyak wangi dan cuba menghidunya namun tidak dapat mengesan apa-apa bau, tulis portal itu.
Simptom itu dikatakan berterusan selama lima hingga enam minggu sebelum deria baunya kembali pulih.
Bagaimanapun, lapor portal itu, wanita itu menghadapi masalah lain apabila semua makanan dirasakan terlalu masin dan pelik.
Deria baunya yang terlalu sensitif membuatkan bau peluh menjadi lebih menyengat berbanding biasa buat wanita itu.
“Saya boleh bau peluh dalam situasi yang anda jarang perasan. Contohnya semasa pulang daripada menghantar anak ke sekolah, sedikit peluh pada baju pun membuatkan saya rasa seperti bau kobis buruk. Dan bila anda boleh membau diri sendiri, ia membuatkan anda menjadi sangat paranoid,” ujar wanita itu.
Berdasarkan laporan Metro UK, para doktor mendapati individu dijangkiti COVID-19 kehilangan deria bau akibat kerosakan pada saraf di dalam hidung yang disebabkan oleh virus.
Saraf yang mengesan bau ini memberi maklumat kepada otak untuk mentafsir maklumat kimia yang membentuk bau, dan jika ia rosak, boleh menyebabkan parosmia.
Sumber: Metro UK