Seorang peniaga di Jawa Tengah, Indonesia dilaporkan mewarna cili yang belum masak untuk mengaut keuntungan, lapor Kompas.
Menurut portal itu, pelaku yang berusia 35 tahun telah ditahan pihak polis untuk siasatan.
Hasil siasatan awal mendapati pelaku bertindak sedemikian bagi mendapatkan keuntungan lebih di mana cili merah lebih mahal berbanding cili kuning.
“Motifnya ekonomi. Cili merah berharga IDR 45,000 sekilo (kira-kira RM12.70) sedangkan cili kuning berharga IDR19,000 (kira-kira RM5.40) sekilogram,” kata jurucakap polis tempatan.
Pelaku yang merupakan seorang petani dikatakan telah menjual cili tersebut di tiga pasar tempatan iaitu Pasar Wage, Pasar Cermai dan Pasar Sokaraja.
Tambah Kompas, dia bertindak mencampur cili merah sebenar dengan cili kuning yang dicat untuk mengaburi mata pelanggan.
Polis telah menemukan 5 hingga 6 kilogram cili kuning yang dicat dalam setiap bungkus 30 kilogram cili merah, tulis portal itu.
Akibat perbuatan itu, pelaku mungkin berhadapan hukuman 15 tahun penjara, lapor Kompas.com.
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kesihatan, Banyumas Sadiyanto mendakwa cili tersebut boleh menjejaskan kesihatan sesiapa yang memakannya.
Katanya seperti dilapor Kompas, ia boleh menyebabkan keradangan pada tekak.
“Tapi kalau dimakan dalam jumlah banyak, boleh menyebabkan keracunan, cirit birit, muntah dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, warna cili itu dikatakan kelihatan aneh, berbeza dengan pewarna makanan.
“Kalau dilihat dari fizikalnya, ia seperti cat. Kerana kalau pakai pewarna makanan, ia akan sangat susah melekat. Ini jelas bukan pewarna makanan,” kata Sudiyanto.
Tambahnya, secara kasar, cat itu serupa dengan cat kayu terutamanya ketika dimasukkan di dalam air dan alkohol di mana warnanya tidak larut.
“Penampakannya seperti cat kayu,” kata beliau seperti dilapor Kompas.

Sumber: Kompas.com