Siakap Keli
Gambar: Bernama

Banjir: Memandu Sepanjang Malam Untuk Cari PPS Buat Keluarga

KOTA TINGGI, 6 Jan (Bernama) — Seorang penjawat awam gigih memandu meredah kepekatan malam bersama dua anak dan ibunya berusia 82 tahun untuk mencari pusat perlindungan setelah tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang disinggahinya telah penuh dengan mangsa banjir.

Norazizah Abdullah, 49, berkata dia bertekad untuk menyelamatkan ahli keluarga apabila sungai di belakang rumahnya di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi mula melimpah setelah hujan berterusan dan khuatir rumahnya akan dinaiki air.

“Ia pengalaman pertama yang menakutkan. Saya memandu kereta kecil pada waktu lewat malam dengan air banjir yang semakin naik, tetapi saya nekad untuk mencari tempat perlindungan buat anak-anak terutama ibu saya yang sudah tua.

“Suami saya bekerja di Sarawak jadi saya perlu mencari tempat yang selamat untuk keluarga apabila banjir melanda sejak Ahad lepas, jadi malam itu kami keluar rumah untuk ke PPS terdekat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS Kolej Vokasional di sini.

Apabila sampai ke PPS berdekatan rumahnya, ia sudah penuh dengan mangsa lain lalu dia bergerak ke PPS seterusnya, malangnya di situ juga tiada ruang untuk dia dan keluarga.

“Malam pula semakin larut, anak-anak dan ibu saya keletihan kerana berada di dalam kereta sepanjang malam. Saya kemudian pergi ke sebuah lagi PPS tetapi penuh juga, tetapi pegawai kebajikan di situ yang melihat keadaan ibu saya membantu merujuk saya ke PPS lain,” katanya.

Norazizah berkata dia sekeluarga tiba di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi kira-kira 3 pagi (Isnin) dan bersyukur dengan bantuan diberikan pegawai kebajikan yang berjaya menempatkan keluarganya di PPS berkenaan.

Katanya, dia dan keluarga selesa tinggal di PPS itu yang menyediakan keperluan penting untuk semua mangsa banjir.

“Kami diberikan khemah di dalam dewan tersebut, cukup makan dan bekalan air dan kemudahan di sini juga bersih. Saya lega keluarga saya dijaga dengan baik di sini,” katanya.

Setakat tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 3,560 orang daripada 902 keluarga dengan Kota Tinggi masih mencatatkan daerah paling tinggi mangsa banjir iaitu 2,126 orang.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.