Siakap Keli

Jabatan Perhutanan Perkenal SOP Baharu Aktiviti Pendakian Lebih 457.2 Meter

KUALA LUMPUR, 6 Jan — Bermula tahun ini, setiap aktiviti pendakian di bukit atau gunung yang mempunyai ketinggian melebihi 457.2 meter di Semenanjung Malaysia perlu menepati nisbah setiap seorang jurupandu bersamaan tujuh peserta.

Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mohd Yussainy Md Yusop berkata peraturan baharu yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2022 itu bagi mempertingkatkan keselamatan para pengunjung serta langkah waspada pihaknya mengawal virus COVID-19 yang masih wujud.

Jabatan Perhutanan Negeri katanya akan mengenal pasti kawasan pendakian yang wajib menggunakan khidmat malim gunung perhutanan namun tiada halangan bagi pendaki untuk mengupah jurupandu bagi pendakian di bawah ketinggian 457.2m kerana kos ditanggung mereka sendiri.

“Di bawah Jabatan Perhutanan kami sudah empat kali mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula taman eko rimba dan taman hutan negeri… kami mahu walaupun kemudahan (aktiviti rekreasi dan pendakian) dibuka semula kepada pengunjung tetapi SOP perlu diteruskan untuk mengawal COVID-19.

“Syarat nisbah seorang jurupandu bersamaan tujuh orang bagi aktiviti di kawasan pendakian berketinggian 1,500 kaki atau 457.2m adalah supaya setiap pergerakan keluar masuk hutan dapat dikawal pihak Jabatan Perhutanan dan juga jurupandu… sekali gus kami mahu jadikan tahun 2021 sebagai kesedaran kepada setiap peserta kerana aspek penguatkuasaan akan bermula pada 2022,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan dengan itu, Mohd Yussainy berkata Jabatan Perhutanan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan kursus malim gunung perhutanan di seluruh negara bagi meningkatkan pelbagai kemahiran terutama aspek keselamatan dan ilmu asas perhutanan.

“Ini sangat penting kepada jurupandu atau malim gunung. Dalam tempoh 10 tahun ini lebih 218 kes kemalangan seperti kecederaan direkodkan, bencana kepala air, sesat di luar denai pendakian termasuk melibatkan 128 kes kematian.

“Jadi kursus ini akan memberi latihan asas perhutanan termasuk perundangan, ikhtiar hidup, pengecaman tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan survival mereka. Di pihak JBPM adalah lebih kepada modul keselamatan dari segi memberi bantuan kecemasan awal,” katanya.

Mohd Yussainy berkata kursus selama lima hari itu akan diadakan setiap bulan di seluruh negara bermula Februari dan mengutamakan golongan belia serta warga tempatan yang mahir dengan selok-belok kawasan pendakian setempat.

Setakat ini katanya pihaknya telah menerima 3,000 permohonan dan ia satu maklum balas yang positif memandangkan ramai rakyat Malaysia kini menjadikan jurupandu sebagai profesion disebabkan kehilangan pekerjaan akibat COVID-19.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata jurupandu atau malim gunung yang terpilih mengikuti program itu akan dilatih sebagai responden pertama untuk memberi bantuan awal kepada mangsa jika berlaku sebarang kecemasan atau kemalangan ketika pendakian sebelum ketibaan bantuan daripada pihak bomba.

“Kami akan melatih jurupandu atau malim gunung ini mengikut modul JBPM seperti asas mencari dan menyelamat, bantu mula dengan peralatan bantuan kecemasan, membawa keluar mangsa ke kawasan selamat, penyelamatan di kawasan tinggi serta asas penggunaan kompas dan peta,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang