Siakap Keli

“Duduk Di Depan Skrin Komputer Terlalu Lama,” Ini 5 Punca Diserang Migrain Ramai Tak Tahu

Sehingga kini, punca migrain atau punca sakit kepala masih belum diketahui. Tapi, antara faktor mengapa migrain boleh tercetus adalah kerana didorong oleh genetik, persekitaran, dan gaya hidup anda.

Dari sudut sains, pakar bersetuju serangan migrain boleh berlaku disebabkan ketidakseimbangan interaksi kimia dalam otak.

Ini termasuklah serotonin yang mengawal atur deria kesakitan di dalam sistem saraf.

Selain itu, perubahan pada struktur brainstem dan interaksinya dengan saraf trigeminal (saraf yang bertanggungjawab terhadap fungsi pergerakan muka) juga memainkan peranan.

Oleh sebab aktiviti harian anda boleh mempengaruhi kebarangkalian mendapat serangan migrain, mari kita kenali 5 punca migrain yang selalu terjadi.

1 – Kurang tidur berkualiti punca migrain berlaku

Pasti anda tahu jumlah waktu tidur yang mencukupi adalah sebanyak 7 hingga 8 jam sehari, kan?

Percaya ataupun tidak, mereka yang kurang atau terlebih tidur, kedua-duanya boleh mendapat serangan migrain!

Walau bagaimanapun, punca migrain bukan hanya bergantung pada berapa banyak jumlah waktu tidur anda. Ia lebih melibatkan kualiti tidur itu sendiri.

Tidur yang sering terganggu dek masalah tidur seperti insomnia, tidur berdengkur dan apnea tidur boleh mencetuskan serangan migrain.

2 – Minum terlalu banyak minuman berkafein

Ramai mengaku pengambilan minuman berkafein membantu melegakan kesakitan, terutamanya serangan migrain.

Ia terjadi kerana reaksi bahan kimia semula jadi otak yang dikenali sebagai adenosine.

Adenosine mampu melekat pada reseptor di permukaan sel otak, lalu menyebabkan kesakitan. Kafein mampu “menghalang” adenosine ini dari bercantum dengan reseptor.

Sebab itu, individu dengan serangan migrain terbukti mempunyai peningkatan paras adenosine.

Walau bagaimanapun, pengambilan minuman berkafein berlebihan boleh menyebabkan berlakunya toleransi pada otak.

Ia merupakan salah satu punca migrain yang sering berlaku kepada peminum kopi tegar.

Ini bermakna, sekiranya anda tidak minum minuman berkafein, anda berisiko alami simptom penarikan (withdrawal symptom).

Antara simptom tersebut adalah:

  1. Pening kepala
  2. Kelesuan
  3. Loya
  4. Sukar menumpukan perhatian
  5. Simptom lain yang berkait rapat dengan migrain

3 – Duduk di hadapan skrin komputer terlalu lama

Mereka yang menderita migrain boleh mendapat serangan teruk selepas menggunakan komputer dalam jangka masa lama.

Perkara ini lebih berisiko kepada mereka yang mengalami masalah fotofobia (takut pada cahaya).

Puncanya masih tidak jelas, namun ia dikaitkan dengan beberapa faktor seperti tahap kecerahan skrin komputer.

Faktor lain pula adalah berapa tempoh masa pendedahan terhadap cahaya skrin tersebut.

Sebagai contoh, penggunaan komputer secara intensif sekurang-kurangnya selama 30 minit boleh menyebabkan sindrom penglihatan komputer. Perkara ini punca sakit kepala.

Penggunaan komputer selama 2 jam sehari boleh menyebabkan sakit kepala dan jika waktu tersebut lebih panjang (4-9 jam), kesannya adalah lebih teruk.

Warna tertentu pada skrin komputer juga boleh menjadi punca migrain terutamanya warna yang berasal dari spektrum warna biru dan hijau.

Komputer yang menggunakan skrin resolusi rendah turut mampu menghasilkan isyarat penglihatan yang boleh menyumbang kepada serangan migrain.

4 – Perubahan mendadak pada persekitaran 

Faktor persekitaran turut merupakan punca migrain. Ini termasuklah perubahan altitud, cuaca, kadar lembapan dan bunyi bising.

Perubahan cuaca, sama ada terlalu sejuk atau terlalu lembab mempengaruhi keseimbangan isyarat kimia dalam badan lalu mencetuskan migrain.

Perubahan pada tekanan pula sering berlaku ketika individu menaiki pesawat atau ketika menyelam di lautan dalam.

Perkara sama juga boleh terjadi apabila anda mendaki tempat yang beraltitud tinggi. Serangan migrain boleh tercetus akibat perubahan tekanan barometrik.

Cahaya terang benderang juga boleh menyebabkan berlakunya migrain terutamanya jika cahaya tersebut berkelip-kelip.

Cahaya berkelipan ini kebiasaannya berlaku apabila cahaya matahari terpantul pada permukaan air, pasir dan salji.

5 – Perubahan hormon juga punca migrain tercetus

Perubahan hormon yang sering dialami oleh wanita juga merupakan salah satu punca migrain. Perkara ini sering terjadi pada 3 peringkat kehidupan seorang wanita:

  1. Ketika sedang mengalami kitaran haid
  2. Kehamilan
  3. Menopaus

Penting juga untuk anda tahu perubahan hormon yang membawa kepada serangan migrain kebiasaannya disebabkan hormon estrogen.

Sebelum wanita mengalami haid, paras hormon estrogen dan progesteron akan jatuh dengan mendadak.

Mereka yang menghampiri menopaus pula mempunyai paras hormon yang sering berubah. Perkara ini juga boleh menjadi punca migrain.

Bagi wanita hamil, migrain kebiasaannya berlaku pada peringkat awal kehamilan. Setelah trimester pertama, simptom tersebut biasanya hilang.

Setiap individu yang mengalami migrain mempunyai faktor pencetus yang berbeza-beza.

Oleh sebab itulah, penting untuk anda memberikan perhatian yang penuh kepada punca migrain anda bagi menghindarinya.

Pemahaman yang baik berkenaan dengan punca migrain anda boleh membantu pakar saraf untuk membuat diagnosis yang lebih tepat sebelum memberikan rawatan kepada simptom tersebut.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)