Siakap Keli
Gambar: Bernama

Eksekutif Warga Malaysia Digantung Seumur Hidup Kerana Atur Perlawanan – BWF

KUALA LUMPUR, 8 Jan  — Seorang eksekutif syarikat peralatan sukan warga Malaysia dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) atas kesalahan mengatur perlawanan.

BWF, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa Unit Integriti BWF telah menyiasat wakil eksekutif peralatan sukan yang menaja pemain antarabangsa itu sejak kejohanan Terbuka Jepun 2014.

“Kami mendapati individu tersebut mendekati beberapa pemain antarabangsa dan menawarkan wang untuk memanipulasi perlawanan termasuk perlawanan melibatkan pemain yang ditaja oleh majikan individu berkenaan selain bertaruh dalam beberapa perlawanan.

 “Dia menyalahgunakan kedudukan dan pengaruhnya sebagai eksekutif dalam jenama sukan dalam usaha untuk merosakkan badminton antarabangsa dan memperkayakan dirinya sendiri,” menurut kenyataan itu.

Menurut BWF, eksekutif berkenaan boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam tempoh 21 hari daripada tarikh hukuman.

Selain, itu, BWF memaklumkan tiga pemain Indonesia turut dihukum gantung seumur hidup daripada terbabit dalam sukan itu kerana kesalahan mengatur perlawanan manakala lima lagi pemain negara itu dikenakan hukuman gantung antara enam dan 12 tahun serta masing-masing didenda US$30,000 (RM120,954) dan US$12,000 (RM48,381).

BWF berkata kesemua pemain itu melakukan kesalahan berkaitan mengatur perlawanan, manipulasi perlawanan dan melakukan pertaruhan ketika bersaing dalam kejohanan peringkat rendah di Asia sehingga 2019.

Sepanjang tempoh itu, mereka juga dilarang menyertai sebarang aktiviti membabitkan sukan badminton termasuk bahagian pengurusan, kejurulatihan, pengadilan atau pembangunan.

Sumber: BERNAMA