Siakap Keli
Gambar: Maria Nazri Said

“Kehidupan Saya Berubah 100 Peratus,” Wanita Ini Kongsi ‘Rahsia’ Berjaya Turun Berat Badan Hingga 33 Kg

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ramai antara kita yang inginkan berat badan ideal untuk menikmati gaya kehidupan yang lebih sihat tanpa ancaman penyakit.

Namun, tidak ramai yang sedar bahawa matlamat itu boleh sahaja dicapai jika ada azam yang kuat untuk berubah.

Seperti sedia maklum, cara terbaik untuk dapatkan berat badan sempurna adalah dengan menjaga pemakanan atau lebih tepat lagi, berdiet.

Baru-baru ini, seorang warganet, Maria Nazri Said berkongsi pengalaman jatuh bangun dietnya dalam ‘group’ Facebook Diet Suku-Suku Separuh.

Menariknya, perkongsiannya itu diluahkan dengan begitu jelas, bermula daripada bagaimana dia terdetik untuk berdiet, melalui fasa-fasa sukar pada tempoh yang panjang, sehinggalah akhirnya berjaya mencapai tahap kesihatan yang baik pada hari ini.

Mari ikuti perkongsiannya ini. Semoga terinspirasi.

Gambar: Maria Nazri Said

Perjalanan turun berat daripada 100 kg ke 67 kg, berjaya hilang 33 kg selama setahun lebih

Saya nak kongsi pengalaman dan cara saya turunkan berat badan sebanyak 33 kilogram, dari ‘zero’ tidak tahu apa-apa bab diet ni, sampai boleh. Ada la sikit-sikit tak banyak ilmu pun, cukup untuk belajar sendiri. Nak ajar orang, saya tak pandai, tapi saya fahamlah sikit-sikit.

100 kilogram mungkin lebih, sebab timbang saya jenis jarum ketika itu dah rosak. Yang terakhir itulah saya ingat dalam sekitar 100 kilogram.

Mula-mula saya mula diet tekad nak ubah diri, macam semua orang yang pernah berat tahu, puncanya sakit, macam-macam saya kena hadap bila berbadan besar.

Saya tak kisah lagi apa orang nak kata, tapi saya jadi kisah apabila sudah melibatkan kesihatan saya. Umur baru 36/37 tahun, tapi saya dah ‘struggle’ nak bergerak, sakit sana sini.

Permulaan

Saya mulakan dengan berhenti makan malam. Siang saya makan macam biasa, tiada diet tiada bersenam bagai. Saya cuma berhenti makan malam.

Dalam sebulan, berat saya sudah 97 kilogram. Ketika itu sudah beli alat penimbang baharu. Bila tengok (berat) sudah turun, gembira tak terkatalah walaupun baru dua kilogram lebih sebab sudah lama tak cecah bawah 100 kilogram tu. Tengok angka sembilan tu jadi ‘kecewa’.

Ketika 97 kilogram

Saya mula berjinak-jinak dengan berjoging, tapi jalan-jalan saja. Jalan perlahan-lahan, masa tu tak pandai kira langkah lagi. Jalan saja perlahan-lahan, ‘outfit jogging’ pun hmm tak sesuai sebab tak bersedia apa pun.

Kasut pun pinjam kasut anak. Itu tak mengapa. Yang penting semangat. Masa itu saya jumpa kawan saya, Kak Wan. Dia ada dalam group ini (Diet Suku-Suku Separuh). Nanti mesti dia muncul, untung saya kenal dia.

Dia yang ajar saya buat permulaan, apa yang boleh dan tidak boleh. Ibarat dia bagi saya satu inspirasi untuk berubah. Dia berumur 50 tahun, tapi dia lebih sihat (dan) berjoging daripada saya. Tak boleh jadi ni, saya kena berjuang untuk diri saya.

Gambar: Maria Nazri Said

Tanggal 1 Mac 2018

Secara rasminya (ketika tarikh ini), saya isytiharkan diet ke atas diri sendiri. Saya kawal ‘portion’ makanan, tapi lauk saya makan saja apa-apa lauk.

Tapi apa yang saya kawal, ‘portion’. Ketika itu saya tak potong gula, setiap kali balik joging saya beli teh ‘O’ ais limau. Kalau coach tengok ni, matilanak (katanya).

Masa itu saya tidak tahu lagi wujudnya diet ‘suku-suku separuh’ (DSSS) ini. ‘Just do it’, saya mula belajar dengan Kevin Zahri punya Youtube dan Instagram, dengar dan fahamkan. Hari-hari saya dengar.

Bulan kedua, 95 kilogram

Alhamdulillah, walaupun makan tak berapa ‘sihat’ tapi sebab kawal ‘portion’ dan ‘enjoy’ dengan ‘workout’, walaupun masa itu lutut kiri saya dah mula bagi kesan sakit.

Saya tak boleh bengkokkan lutut, tapi mujur saya boleh lagi berjalan-jalan. Saya tak menyerah masa itu, walaupun sakit tu mengganggu saya. Saya hanya teruskan saja. Saya mula beli pita pengukur, saya tulis berapa-berapa inci, bahu lengan dada perut betis semua itu saya tanda.

Gambar: Maria Nazri Said

Fokus

Saya tak fokus pada berapa berat saya turun. ‘Im just do it’. Apa yang saya fokus ialah rutin saya. Saya tukar dari A ke B, ‘workout’ pun saya tukar dari satu kilometer naik ke dua kilometer. Makin ringan badan, makin hilang berat badan, makin saya naikkan ‘level workout’.

Daripada kira jumlah langkah guna telefon (aplikasi), saya beli jam pintar (smart watch). Daripada situ saya belajar tentang pembakaran kalori dan saya tetapkan target sendiri.

Bukan target turun berat, tapi target berapa langkah nak buat dalam sehari. Dalam masa sama saya diet macam biasa.

Sihat

Saya pernah cakap dengan kawan saya, saya ‘workout’ bukan untuk kurus. Saya ‘workout’ untuk saya boleh makan apa yang saya nak. Saya ‘workout’ sebab saya nak sihat. Itu fokus utama saya.

Tak kisah berapa kilogram berat turun dalam seminggu ke, sebulan ke. Yang penting saya buat. Alhamdulillah, berat turun cantik je.

Plateau

Ya, jauh perjalanan luas pemandangan. Haha. Setiap 10 kilogram turun, dia ‘stuck’. Jadi saya belajar lagi, nak buat macam mana, ‘stuck’ seminggu dua boleh lagi terima. ‘Stuck’ dekat sebulan dah tentu saya hairan.

Saya tukar rutin pemakanana. Ada masa saya kawal diet ketat sikit. Ada masa saya ‘enjoy’ dalam sehari saya ‘load’ kalori, saya makan apa yang saya nak. Minggu depannya Alhamdulillah turun.

Ada masa saya berehat daripada ‘workout’. Apabila sambung balik, turun elok je dia. Apa yang saya belajar masa itu, badan kita juga ada kalanya ‘bosan’ dengan rutin yang sama. Dia perlukan sedikit perubahan, sama ada ‘enjoy’ atau ketatkan lagi rutin. Itu pengalaman sayalah.

Gambar: Maria Nazri Said

Disiplin

Bila dah mula diet, disiplin itu penting. Bila ‘enjoy’, ‘enjoy’ betul-betul. Bila diet, buat betul-betul. Kalau rasa tak ‘enjoy’, stres, jangan buat. Orang boleh cakap macam-macam, tapi akhirnya balik pada diri sendiri, “Apa yang terbaik aku boleh buat”.

Saya cabar diri sendiri, selalunya dalam ‘workout’. Dulu joging, ‘pace’ usah cakaplah perlahannya. Alhamdulillah ‘pace’ lapan ke sembilan tu kira ok dah bagi saya. InsyaAllah akan datang nak cuba ‘pace’ tujuh pula.

Selalu ‘refresh’ diet kita supaya ‘enjoy’ dan minat. InsyaAllah berat mudah nak turun. Jangan fokus pada berat berapa kilogram turun, (tapi) fokus untuk hidup secara sihat. Itulah dia.

Perasaan sekarang

Saya rasa seronok sangat haha. Sakit-sakit yang saya rasa dulu, tak pernah rasa lagi dah sekarang. Saya tak pernah rasa badan dan dalaman saya seringan ini.

Pernah dengar kan, bila lepas urut badan anda akan rasa ringan? Percayalah, lepas ‘workout’, lepas diet dan bangun esok pagi, itulah nikmat ringan badan yang saya tak pernah dapat dulu kalau saya tak ubah diri. Bangun pagi tak pernah lembik, cergas, cerdas, jauh beza kalau nak dihitung.

Kehidupan saya sudah berubah 100 peratus. Dulu tidur berdengkur, (sekarang) dah tiada. Bangun tidur dulu sakit tapak kaki, sekarang dah tiada. Dulu baru bangun tidur, saya boleh tidur balik lepas hantar anak-anak ke sekolah. Sekarang siang pun saya jarang tidur, selalu sibukkan diri.

Gambar: Maria Nazri Said

Walaupun saya seorang surirumah, saya ada Athma, tapi itu bukan halangan. Sebab saya nak rasa nikmatnya sihat. Alhamdulillah syukur saya sempat berubah.

Nak turun berat ni perjalanan dia bukan macam lif, masuk tekan butang laju je turun. Tak.

Perjalanannya berliku-liku. Kalau awak nak sihat, dengarlah ‘suara’ tubuh badan awak. Masa saya mula-mula diet, saya tak sertai mana-mana ‘group’. Sampailah sekarang baru saya sertai ‘group’ DSSS ni, sebab saya akan belajar bila saya nak dan saya akan cari sendiri.

Produk kurus tak mengubah apa-apa

Saya gunakan sumber yang saya boleh terima cara diet tu dan praktis pada diri sendiri. Bukan tak pernah usaha, saya dah berhabis duit beribu-ribu ringgit dengan produk-produk kurus, akhirnya tak jadi apa.

Akhirnya baru saya tahu, saya sendirilah yang kena berubah. Bila saya masuk ‘group’ ni, macam-macam soalan yang saya tengok. (Jadi) terbuka hati saya nak kongsi pengalaman saya sendiri.

Banyak-banyak diet, DSSS inilah paling ‘simple’ dan untuk jangka masa panjang, sangat-sangat berbaloi untuk ‘investment’ diri kita pada masa akan datang.

Sihat tak boleh dibeli, kita sendiri kena ubah. Saya mohon maaf andai saya ada tersalah bahasa. Saya menulis sekadar kongsi pengalaman sahaja. Sekian terima kasih sudi baca.

#sukusukuseparuh
#kitabantukita
#harapdapatmembantu
#belajaritupenting

Sumber: Maria Nazri Said melalui Diet Suku Suku Separuh

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'