Siakap Keli
Gambar: Oddity Central

Usaha Kekang Masalah Disiplin, Syarikat Ini Jadi Bualan Apabila Larang Pekerja Guna Tandas Lebih Dari Sekali

Sebuah syarikat pembuatan elektrik di Dongguan, China didakwa diserang pekerja kerana membuat peraturan yang pelik ke atas pekerjanya.

Berdasarkan polisi syarikat, mana-mana pekerja yang menggunakan tandas lebih daripada sekali dalam sehari (waktu bekerja) akan dianggap pemalas dan mereka akan didenda sebanyak RM12 setiap kali melakukan kesalahan itu.

Menurut laporan Oddity Central, notis arahan denda itu asalnya dimaklumkan secara tertutup, namun telah disebarkan ke media sosial oleh sekumpulan pekerja yang tidak berpuas hati dengan peraturan tersebut.

Untuk rekod, kira-kira tujuh pekerja telah dikenakan hukuman denda berkenaan pada 20 dan 21 Disember baru-baru ini.

Usaha syarikat kekang masalah disiplin

Difahamkan, peraturan itu dibuat sebagai usaha syarikat mengekang kegiatan melepak dan merokok di tandas oleh mereka yang suka mencuri tulang ketika waktu bekerja.

Bagaimanapun, polisi yang ketat itu tidak diterima secara umum dan telah membangkitkan kemarahan pekerja-pekerja di sana.

“Kami tidak mampu lagi. Memang betul, terdapat ramai pekerja yang pemalas.

“Pihak pengurusan sudah pun berbincang dengan mereka (pekerja malas) banyak kali, namun hasilnya tetap sama,” ujar pengurus syarikat, Cao ketika dihubungi pemberita.

Jelas Cao, peraturan menghadkan penggunaan tandas dalam kalangan pekerja adalah pilihan terbaik yang mampu dilaksanakan syarikat.

Malah jika ada pekerja yang betul-betul mahu menggunakan tandas buat kali kedua dan seterusnya, mereka perlu mendaftarkan nama kepada pihak pengurusan sebagai rekod aktiviti pekerja.

“Kami tidak berupaya mencari pekerja-pekerja baharu sekiranya yang bermasalah tersebut diberhentikan kerja akibat masalah disiplin mereka.

“Malah jumlah denda RM12 itu bukanlah perlu dibayar secara tunai, sebaliknya akan ditolak daripada bonus gaji bulanan mereka,” tambahnya lagi.

Peraturan tidak sah

Isu limitasi penggunaan tandas oleh pihak pengurusan syarikat ini telah tersebar luas dalam kalangan rakyat tempatan sehingga menarik perhatian Biro Keselamatan Sosial dan Tenaga Kerja Dongguan.

Bertindak atas tanggungjawab, pihak pentadbiran wilayah membawa isu tersebut ke peringkat pengadilan untuk siasatan lanjut, bagaimanapun pihaknya mendapati peraturan pelik yang dikuatkuasakan itu adalah tidah sah di sisi undang-undang.

Sumber: Oddity Central