Siakap Keli
Gambar: REUTERS via The Straits Times Asia

Lokasi Dua Kotak Hitam Pesawat Sriwijaya Air Boeing 737 Yang Terhempas Berjaya Dikesan

Lokasi dua kotak hitam pesawat Sriwijaya Air Boeing 737 yang terhempas telah berjaya dikenal pasti, kata Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional, Soerjanto Tjahjono pada hari Ahad (10 Januari 2020).

Ketua tentera, Hadi Tjahjanto berkata, kotak itu diharap dapat diambil segera supaya siasatan dapat dijalankan.

Sebelumnya, pihak berkuasa yang mencari pesawat malang yang jatuh pada hari Sabtu mengatakan mereka telah menemui isyarat yang mungkin berasal dari kotak hitam pesawat itu.

“Kami menerima dua isyarat kecemasan, yang akan membantu kami mencari kotak hitam,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat, Basarnas Bagus Puruhito kepada MetroTV pada Ahad.

“Kami telah menandakan tempat tersebut dengan pelampung dan akan segera mengerahkan penyelam ke sana,” tambahnya.

Kata beliau, salah satu isyarat adalah daripada pemancar pencari kecemasan (ELT) selain cuaca dan penglihatan di bawah air juga baik untuk operasi pencarian.

Tentera Udara Indonesia juga mengatakan pihaknya melihat tumpahan bahan bakar yang disyaki berasal daripada pesawat.

Tumpahan minyak itu meliputi bahagian laut yang sangat besar di selatan pulau Laki di kabupaten Kepulauan Seribu di utara Jakarta, berdekatan tempat operasi pencarian bersama dikerahkan sejak Sabtu, menurut Henri Alfiandi, pembantu operasi ketua angkatan udara, kepada pemberita pada Ahad.

Antara yang ditemui hari ini adalah bahagian roda pesawat, kepingan aloi keluli dengan cat biru dan seluar kanak-kanak berwarna merah jambu.

Semalam, pesawat Boeing 737-500 hilang dari radar di atas laut di antara Pulau Laki dan Pulau Lancang di Pulau Seribu.

Seramai 62 orang menaiki pesawat iaitu 12 kru dan 50 penumpang, termasuk tujuh kanak-kanak dan tiga bayi.

Sumber: The Straits Times Asia

"