Siakap Keli
Kredit: Bernama

(Video) “Pelamin Anganku Musnah..,” Lengkap Berpakaian Pengantin, Wanita Sedih Tak Sempat Bergambar Atas Pelamin

RAUB,11 Jan (Bernama) — Saat indah bagi setiap pasangan pengantin baharu apabila dapat merakam gambar di pelamin idaman pada hari bahagia, namun sebaliknya bagi Siti Fazrila Abdul Khairi, 34, apabila pelamin itu musnah susulan Kampung Gili Hilir di sini dilanda banjir teruk pada Ahad.

Jururawat di sebuah hospital swasta di ibu negara itu berkata ketika kejadian beliau telah lengkap berpakaian pengantin dan sedang disolek, sebelum menerima kedatangan tetamu pada kira-kira 11 pagi.

“Lauk kenduri juga sudah siap dimasak sekitar 10 pagi untuk 300 orang dan pada waktu itu kami hanya menunggu kedatangan tetamu bagi memeriahkan majlis sebelum air naik sangat cepat sehingga ke paras pinggang saya.

“Saya terus tukar baju dan barang hantaran pihak lelaki sempat diletakkan di atas almari, manakala pelamin, bunga telur terus ditenggelami air dan cenderahati untuk tetamu satu pun saya tidak sempat selamatkan,” katanya kepada Bernama.

Siti Fazrila berkata rumahnya tidak pernah dinaiki air sebegitu tinggi dan keadaan banjir berkenaan memang di luar jangkaan mereka sekeluarga.

“Kami diarah untuk mengosongkan rumah dan berada di tempat selamat, lauk-pauk yang siap dimasak kemudiannya dibawa ke pusat pemindahan sementara.

“Sedih sangat dengan apa yang berlaku kerana pada hari akad nikah juga, saya tidak sempat bergambar di atas pelamin kerana ia lambat siap, dan pada hari kenduri pelamin rosak terus,” katanya yang membelanjakan lebih RM5,000 bagi pakej perkahwinan itu.

Beliau berkata rombongan pengantin lelaki yang dalam perjalanan dari inap desa berhampiran ke majlis kenduri juga terkandas sebelum pulang semula ke Terengganu.

Sementara itu, ibunya, Anida Mat Tahir, 53, berkata beliau reda dengan apa yang berlaku terhadap majlis perkahwinan anak sulungnya itu.

“Lebih sebulan persiapan dilakukan tetapi apa yang berlaku ada hikmahnya, lauk itu kami jamu juga kepada penduduk kampung di pusat pemindahan, sama juga macam kenduri…pastinya ia adalah kenangan buat kami sekeluarga yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.