Siakap Keli
polis diserang
Kredit: Google

Dua Anggota Polis Cedera Diserang Ketika Cuba Leraikan Pergaduhan

ALOR GAJAH, 11 Jan (Bernama) — Dua anggota polis cedera diserang sekumpulan penduduk kampung ketika sedang meleraikan pergaduhan dua pihak dalam kejadian di tepi jalan besar Simpang Tiga Ayer Pasir, Machap Baharu di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata Kpl G. Ramanan, 34, dan Kpl Lisrullah Ali, 33, dari Balai Polis Machap Baharu itu turut dilempar dengan kata-kata kesat oleh kumpulan penyerang tersebut dalam pergaduhan kira-kira pukul 8.10 malam.

Beliau berkata dalam kejadian itu, kedua-dua anggota polis yang memakai rompi polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima aduan daripada orang awam tentang kekecohan yang berlaku dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Ketika sedang meleraikan pergaduhan itu, sekumpulan penduduk kampung telah menyerang serta menampar anggota berkenaan selain menghalang mereka menjalankan tugas.

“Kumpulan tersebut juga telah memulakan provokasi dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kedua-dua anggota berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Kpl Ramanan telah ditumbuk pada bahagian muka sebelum terjatuh dan ditendang berkali-kali termasuk pada bahagian muka oleh sekumpulan kira-kira tujuh individu sehingga menyebabkan mangsa pening selain cedera di hidung, bibir dan tangan kanan.

Katanya, tindakan Kpl Lisrullah yang cuba meleraikan rusuhan itu juga tidak diendahkan oleh kumpulan penduduk kampung berkenaan.

Arshad berkata susulan kejadian itu, lima lelaki berumur 20 hingga 59 tahun ditahan di sekitar Machap Baharu antara 10 malam hingga 12 tengah malam hari sama.

Katanya, kelima-lima suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan melakukan ugutan jenayah kepada penjawat awam dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.