Siakap Keli
Gambar : Bernama

Hodak Sasar Bantu KL United FC Kembali Ke Era Gemilang

KUALA LUMPUR, 11 Jan — Bekas ketua jurulatih skuad bola sepak bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak menyasarkan untuk membentuk Kelab Bola Sepak KL United (KL United) menjadi sebuah pasukan yang disegani dalam persaingan Liga Super 2021 yang dijadualkan bermula pada 26 Feb depan.

Warga Croatia berusia 49 tahun itu yang menandatangani kontrak dua tahun, percaya gabungan pemain berpengalaman dan muda dalam musim ini akan menguatkan pasukan itu untuk memberi cabaran serius  kepada pasukan lain.

“Saya mahu pemain mengingati bahawa mereka datang dari Liga Premier dan apabila mereka dinaikkan ke Liga Super permainannya berbeza dan suka atau tidak mereka perlu bekerja keras untuk  kekal  pada   kedudukan atas dalam persaingan buat jangka masa panjang,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia.

Pasukan ini pernah berada di kedudukan bawah apabila mereka layak ke Liga Super pada 2018 dan 2019 sebelum tersingkir ke Liga Premier musim lepas,” katanya.

Justeru, Hodak berkata beliau tidak mahu keadaan itu berlaku lagi dan berharap pasukan ini akan kekal dalam Liga Super untuk masa yang lama, bermula dengan musim ini.

Hodak mempunyai rekod cemerlang dalam Liga Malaysia, terutamanya dalam membimbing Kelantan untuk merangkul tiga kejuaraan — Juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012 selain membantu Johor Darul Ta’zim menjulang Piala Liga Super pada 2014.

Sebelum ini, KL United mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Timor Leste Simón Elissetche dari Chile sebagai ketua jurulatih mereka tetapi mengubah keputusan melantik Hodak dikatakan kerana terdapat masalah pada sijil kejurulatihan Elissetche.

— BERNAMA

Aziezzan