Siakap Keli
Gambar: Mirror

(Video) Rakaman Menyeramkan Dipercayai ‘Sosok Tubuh Misteri’ Melintas Di Hospital Sakit Jiwa ‘Usang’ Bikin Meremang

Satu kelibat yang tampak seperti ‘hantu’ dilaporkan telah berjaya dirakam oleh seorang wanita bersama dengan rakannya yang menjelajahi sebuah hospital sakit jiwa yang ditinggalkan.

Kayleigh Love menyatakan bahawa dia telah mendapat “jackpot” apabila berjaya merakamkan entiti tersebut ketika menjelajahi sebuah hospital usang di Wales.

Dalam rakamannya, satu sosok seperti manusia dapat dilihat berdiri pada hujung koridor yang kelihatan kosong sebelum menghilang.

Love, tampak tidak perasan kemunculan sosok tersebut semasa merakamkan sesi penjelajahannya di kawasan itu.

Namun begitu, dia dilaporkan mula perasan sosok tersebut selepas menyemak semula video yang dirakamnya itu.

“Kecut perut saya,” kata Love.

“Semasa saya sedang menyunting video tersebut di kemudian hari untuk memperlahankannya supaya penonton dapat melihat kelibat itu, ianya telah membuatkan saya berasa seram dan tidak senang.”

Love, yang kerap melakukan penyiasatan paranormal untuk channel YouTubenya yang bernama Love To Investigate, enggan memberitahu nama hospital yang dikunjungnya itu.

Walau bagaimanapun, keterangannya mengenai tempat itu dikatakan serupa dengan Hospital Mid-Wales, iaitu sebuah fasiliti psikiatri yang terletak di Talgarth, Powys, yang beroperasi pada tahun 1903 dan ditutup pada 1999.

Wanita berusia 27 tahun itu berpendapat bahawa kelibat itu berkemungkinan merupakan bekas pesakit yang menghantui kawasan itu.

“Saya percaya bahawa ianya adalah pesakit yang masih terperangkap di sana dan biliknya terletak di koridor itu.

“Saya rasa kisahnya perlu diceritakan dan mungkin ini adalah cara dia untuk berkomunikasi dan membebaskan dirinya daripada kawasan tersebut,” ujarnya.

“Melihat daripada rakaman itu kini, ianya sangat seram bagi saya kerana dia berada berhampiran dan seolah-olah dia sedang berjalan ke arah kami.

“Apa yang paling mengejutkan kami adalah dia tidak kelihatan samar-samar, dia menjelmakan dirinya dalam keadaan yang sempurna.”

Love yang berasal daripada Swansea, menyatakan bahawa rakamannya itu telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Sumber: Mirror

Aqmal Ezany

I write what is right