Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Lelaki Dilapor Hampir Maut Akibat ‘Jangkitan Teruk’ Selepas Picit Jerawat Bawah Bibir

Seorang lelaki di China hampir menempah maut akibat jangkitan teruk selepas memicit jerawat yang terdapat di bawah bibirnya, lapor Daily Mail.

Sejurus selepas memicit jerawatnya, lelaki yang berasal daripada Jiangsu, China itu mula mengalami demam, bengkak di bahagian mulut dan jangkitan yang kemudiannya merebak ke paru-larunya, lapor media tempatan.

Pesakit yang kritikal itu turut didiagnos dengan pneumonia berganda, dan terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sebulan sebelum keadaannya akhirnya stabil, kata doktor yang merawatnya.

Insiden tersebut telah mendapat perhatian selepas ianya disiarkan di stesen television tempatan pada Selasa.

Lelaki tersebut dilaporkan mula mengalami gejala demam dan kesukaran bernafas selepas dia memicit jerawatnya pada awal Disember lalu.

Mulutnya juga menjadi bengkak dan kemerahan sebelum isterinya membawanya ke First People Hospital di Changzhou untuk mendapatkan rawatan.

“Terdapat jerawat di bahagian dagunya,” kata isterinya kepada wartawan. “Saya telah memberitahunya untuk tidak memicitnya kerana dia pernah melakukannya sebelum ini.

“Siapa sangka ianya akan menjadi begitu serius kali ini,” tambah wanita itu.

Setelah diperiksa, para doktor mendapati bahawa lelaki itu mengalami pneumonia berganda, jangkitan yang menyerang kedua-dua paru-parunya sehingga terpaksa dirawat di wad ICU.

Dr Zhu, yang merawat lelaki itu, menyatakan kepada media: “Dia mengalami jangkitan pada bahagian mulut yang pada awalnya telah mencetuskan pneumonia dan jangkitan pada paru-parunya. Keadaannya sangat kritikal.”

Doktor tersebut menambah bahawa jangkitan yang dialami lelaki itu terjadi selepas dia memicit jerawat di dagunya, bahagian yang terletak di kawasan yang dikenali sebagai ‘Triangle of Death’.

Juga turut dikenali sebagai Danger triangle, ‘Triangle of Death’ ini berada di hujung hidung hingga ke hujung kiri dan kanan bibir.

Memicit kulit yang terletak di dalam zon bahaya ini boleh memberi implikasi yang serius terhadap keseluruhan kesihatan anda, kata Dr Zhu.

“Perkara pertamanya adalah elakkan memicit dengan tangan anda,” kata doktor. “Lebih penting lagi, jika kulit di sekitarnya menjadi merah, bengkak atau sakit, atau pesakit mengalami demam, disarankan untuk segera mendapatkan rawatan.”

Selepas dirawat di ICU selama sebulan, keadaan lelaki itu akhirnya stabil. Namun, dia dikatakan akan berada di ICU untuk rawatan selanjutnya.

Sumber: Daily Mail