Siakap Keli
Gambar : Bernama

Media Boleh Teruskan Operasi Penyampaian Maklumat Dalam Tempoh PKP – Saifuddin

KUALA LUMPUR, 12 Jan  — Operasi organisasi media bagi tujuan produksi program, berita, rencana dan kandungan tempatan untuk penyampaian maklumat dibenarkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula esok.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata  bagaimanapun dalam tempoh itu operasi media yang berbentuk penyiaran lain seperti hiburan tidak dibenarkan.

Menurut beliau, bagi negeri yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, operasi organisasi media boleh diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memaklumkan maklumat lanjut mengenai SOP sektor komunikasi (termasuk telekomunikasi dan internet, penyiaran, serta pos dan kurier), teknologi maklumat, e-dagang dan industri kreatif boleh didapati di laman sesawang www.kkmm.gov.my atau menghubungi talian penting  Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di talian 03-89115351 (8.00 pagi hingga 10.00 malam).

Pelaksanaan semula PKP melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari hingga 26 Jan ini, diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.