Siakap Keli
Gambar: Bernama

Orang Ramai Terkandas Di Kampung Halaman, Bercuti Dibenar Pulang Ke Tempat Asal – KPN

KUALA LUMPUR, 12 Jan  — Orang ramai yang terkandas di kampung halaman atau bercuti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa tengah malam ini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dalam minggu ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat memahami terdapat ramai ahli keluarga terkandas di luar kawasan yang mungkin berada di negeri lain sama ada bercuti, melawat atau berkunjung ke rumah saudara-mara dan mereka berkemungkinan terperangkap esok.

“Arahan telah dikeluarkan di peringkat bawahan (anggota polis) supaya menggunakan budi bicara setinggi-tingginya untuk membenarkan mereka yang terperangkap pulang ke rumah masing-masing.

“Saya sudah berikan peringatan dan nasihat supaya orang awam diberikan laluan termasuk juga dengan kenderaan awam mungkin sehingga Jumaat ini,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini.

Abdul Hamid berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaabob yang turut membangkitkan isu ini serta menyarankan agar PDRM memberikan laluan kepada mereka yang terperangkap untuk pulang ke rumah masing-masing.

Selain itu, beliau berkata mereka yang tidak berpuas hati dengan kompaun RM1,000 akibat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan ke atas orang awam diminta merujuk perkara itu kepada pihak Bukit Aman yang bertugas 24 jam.

“… ketidakpuasan hati kerana dikompaun boleh dirujuk balik kepada pihak polis untuk disalurkan apa yang tidak puas hati supaya polis dapat ambil tindakan selanjutnya untuk mencari kebenaran.

“Dalam hal kompaun ini, PDRM ada menerima syor-syor atau ‘proposal’ untuk menaikkan nilai kompaun sedia ada (RM1,000) tetapi saya serahkan perkara itu kepada kerajaan untuk menentukannya dalam mengetatkan SOP,” katanya.

Abdul Hamid berkata ini kerana terdapat pihak yang berulang kali melanggar SOP seperti premis hiburan yang dikenakan tindakan itu seolah-olah kompaun terbabit begitu murah.

“Contohnya, ada (pemilik) premis hiburan yang membayar kompaun RM1,000 dengan muka senyum sahaja sedangkan keuntungan yang dia kaut begitu banyak sekali sehingga puluhan ribu ringgit, jadi apalah sangat dengan RM1,000 pada dia.

“Maka apabila denda kompaun ini dinaikkan, berkemungkinan ia akan menjadi penghalang kepada mereka untuk berbuat demikian,” katanya.

Mengulas mengenai pengamal media yang perlu merentas negeri ketika PKP kerana tugasan, beliau berkata mereka hanya perlu mendapatkan surat pelepasan majikan dan menunjukkan kad media kepada polis yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR).

“Sekiranya petugas media ada kad media dan surat pelepasan majikan adalah lagi baik untuk ditunjukkan kepada anggota polis yang bertugas di SJR bagi membolehkan mereka membuat keputusan dengan cepat dan memberikan laluan kepada petugas media, ” katanya.

Penguatkuasaan semula PKP yang melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari hingga 26 Jan ini telah diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right