Baru-baru ini, gambar seorang lelaki yang tidak mamakai baju dan bertopi keledar dilaporkan dibalut dengan plastik lutsinar dan diikat di sebatang pokok menjadi tular di media sosial Vietnam.
Dengan musim sejuk yang melanda negara berkenaan di bawah suhu 10 darjah Celsius, lelaki itu didakwa diikat di sebatang pokok beserta sehelai kertas yang tertulis “Saya benci bayar tatu”.
Menurut laporan, orang ramai yang melalui jalan tersebut beranggapan ia sebagai gurauan yang dilakukan oleh rakan atau pencacah tatu hanya ingin meraih publisiti murahan.
Namun, tiada sebarang jenama dan gambar yang berkaitan dengan mereka. Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang disebut sebagai ‘NQT’ mengatakan bahawa dirinya bertanggungjawab mengenai kejadian yang berlaku.
Difahamkan, lelaki itu pernah datang ke kedainya untuk mencacah tatu tetapi apabila tiba waktu untuk melakukan pembayaran, lelaki berkenaan hanya membayar sebahagian daripada bil dan tidak pernah kembali untuk membayar baki tersebut.
Perkara tersebut membuatkan NQT dan pekerja yang lain terpaksa menangkap dan membawanya ke kedai. Malah, NQT memutuskan untuk memberikan pengajaran seperti yang ditunjukkan dalam gambar tersebut.
“Lelaki itu membuat tatu di kedua-dua tangannya tetapi gagal membuat pembayaran penuh.
“Bahkan, dia tidak pernah datang untuk membayar baki bil dan cuba mengelakdaripada berjumpa dengan saya.
“Jadi, kami memutuskan untuk menanggalkan bajunya, membalutnya dengan plastic lut sinar dan mengikatnya di pokok sebagai pengajaran,” katanya.
Bagaimanapun, tidak jelas berapa lama lelaki tersebut dibiarkan dan disaksikan oleh orang ramai dengan keadaan cuaca yang sejuk. Disebabkan berasa kasihan, NQT didakwa memutuskan untuk melepaskannya.
Sumber: Oddity Central