‘Musim’ berkurung kembali lagi. Kita sudah pun memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat ‘pusingan’ kedua bermula hari ini.
Maka pergerakan yang dihadkan agak membataskan segala urusan harian, tidak kurang juga urusan kesihatan dan perubatan turut sedikit terkesan.
Bagi yang menghidapi masalah gigi, mungkin ketika ini anda menjalani tempoh sukar kerana kebanyakan klinik pergigian awam dibuka hanya untuk kes kecemasan.
Sehubungan itu, pengamal perubatan pergigian, Dr. Mohd. Khairul Izwan kali ini mengulang siar semula tips penjagaan gigi secara kendiri di rumah sepanjang tempoh PKP ini.
Tips ini pernah dikongsikannya melalui Facebook pada 22 Mac tahun lalu, empat hari selepas bermulanya PKP fasa pertama dan kini disiarkan kembali ‘bersempena’ PKP fasa kedua kali ini.
Bukan apa, dengan mengamalkan tips ini, sekurang-kurangnya kita dapat kurangkan bergantung dengan rawatan klinik untuk tempoh dua minggu PKP ini, selain turut mampu menjaga kesihatan gigi kendiri (melainkan kes kecemasan yang perlu dapatkan rawatan segera).
Mari ikuti nasihat Dr. Khairul di bawah ini. Semoga bermanfaat.
Bagaimana jika anda sakit gigi ketika musim wabak COVID-19 ini?

Umum mengetahui sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dari 18/3 sehingga 31/3/2020 (PKP fasa pertama ketika itu), klinik pergigian tetap beroperasi seperti biasa.
Namun bagi mengurangkan risiko penyebaran virus corona ini, klinik pergigian menghadkan penerimaan pesakit hanya kepada kes-kes kecemasan pergigian sahaja.
Apa yang dimaksudkan dengan masalah pergigian kecemasan?
- Sakit gigi yang teramat sangat sehingga mengganggu tidur serta aktiviti harian.
- Jangkitan pada gigi sehingga menyebabkan gusi serta muka bengkak (abscess dan facial cellulitis).
- Kemalangan sehingga menyebabkan gigi atau tulang rahang muka anda patah.
- Dawai braces tercabut sehingga menyucuk pipi/gusi.
- Crown/bridge/gigi palsu patah sehingga mengganggu fungsi makan.
Bagi anda yang mengalami sakit gigi yang tidak begitu serius dan masih boleh ditahan, anda boleh amalkan langkah-langkah berikut bagi membantu meredakan kesakitan yang dialami serta membantu anda untuk sekurang-kurangnya bertahan sehingga PKP ini berakhir bagi membolehkan anda pergi ke klinik gigi bagi mendapatkan rawatan.
1. Berus gigi bersih-bersih
Berus gigi bersih-bersih terutama pada bahagian gigi yang sakit tersebut (biasanya gigi berlubang/rosak teruk). Pastikan tiada sisa makanan yang berkumpul di kawasan itu.
Pengumpulan sisa makanan inilah sebenarnya yang menjadi punca utama gigi yang berlubang tersebut terasa sakit kerana aktiviti kuman secara langsung terhadap saraf gigi.
2. Guna benang bersihkan sisa makanan
Floss/benang gigi juga boleh digunakan sebagai tambahan bagi mengeluarkan sisa makanan terutama di celah-celah gigi untuk mengurangkan gejala rasa sakit.
3. Amalkan berkumur
Anda juga boleh berkumur-kumur dengan air suam yang dicampur dengan sedikit garam. Mahu berkumur-kumur dengan ubat kumur seperti Oradex atau Oral B juga boleh.
Langkah ini bagi membantu membasmi kuman yang berada di celah-celah gigi dan pada lubang gigi yang tidak dapat dicapai sepenuhnya oleh berus gigi.
4. Tuam dengan ais
Tuam pipi anda pada bahagian yang sakit dengan menggunakan ketulan ais (cold compress). Langkah ini juga boleh membantu anda mengurangkan rasa sakit yang anda alami buat sementara waktu.
5. Makan ubat penahan sakit
Makan ubat penahan sakit (pain killer) dan kemudian tidur/berehat. Antara ubat tahan sakit yang boleh anda beli di farmasi tanpa preskripsi doktor adalah seperti Panadol, Ponstan, Voltaren serta Ibuprofen. Ini dapat membantu meredakan rasa sakit anda buat sementara waktu.
Namun, jika kesakitan anda semakin bertambah, diikuti dengan gejala demam atau bengkak pada gusi serta wajah, anda dibenarkan untuk pergi ke klinik pergigian yang berhampiran bagi mendapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut walaupun PKP masih belum tamat.
Ini kerana kes anda sudah termasuk dalam kategori kes pergigian kecemasan.
Jangan sesekali mencuba petua yang bukan-bukan kerana dikhuatiri dapat menyebabkan kesakitan serta kerosakan gigi anda menjadi semakin parah.
Gigi yang telah rosak tetap perlu diperiksa dan dirawat oleh doktor gigi di klinik pergigian. Apa yang saya kongsikan di atas cumalah sekadar membantu anda mengurangkan rasa sakit buat sementara waktu di saat negara sedang mengalami ancaman COVID-19 yang semakin serius ini.
Kalau dah sakit sangat?
Oh ya satu lagi jika anda mengalami sakit gigi yang teramat sangat sehingga mengalami demam atau bengkak pada wajah pada waktu malam atau ketika hari cuti, anda juga boleh pergi ke bahagian kecemasan di hospital untuk mendapatkan bantuan.
Di sana ada doktor gigi yang standby ataupun “oncall” yang bertugas untuk membantu anda di luar waktu pejabat/hari cuti.
Mari kita sama-sama berdoa supaya wabak COVID-19 ini cepat-cepat berlalu supaya kita dapat kembali melakukan aktiviti serta kerja harian kita seperti biasa.
Kongsikan jika anda rasa tulisan ini membantu terutama bagi mereka yang sedang mengalami sakit gigi.
Semoga bermanfaat!
– Dr. Mohd Khairul Izwan
Bagaimana jika anda sakit gigi ketika musim wabak COVID-19 ini?Umum mengetahui sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan…
Posted by Mohd Khairul Izwan on Sunday, March 22, 2020
Sumber: Dr. Mohd Khairul Izwan