SURABAYA – Seorang mahasiswa dilaporkan berjaya diberkas oleh pihak polis atas kesalahan menjual surat perakuan palsu ujian saringan COVID-19 kepada 24 petugas Pengawas Tempat Pengundian (PTPS) pada bulan Disember tahun lalu.
Difahamkan, suspek mendakwa melakukan perbuatan tersebut ekoran ingin mencari wang saku. Menurut laporan, berbekal surat tersebut, 24 petugas PTPS itu bebas untuk bertugas ketika pilihan raya daerah berlangsung.
Pengarah Penyiasatan Jenayah Khas Polis Daerah Jawa Timur, Farman mengatakan lelaki itu menawarkan surat perakauan palsu ujian saringan COVID-19 dengan harga 50,000 rupiah (RM14). Bahkan, suspek turut didakwa menawarkan surat perakuan palsu itu kepada orang ramai menerusi akaun Facebook miliknya.
“Pada 25 Disember, dia memuat naik tawaran surat itu dan mengatakan individu tidak perlu menjalani proses pemeriksaan di klinik dengan kos yang mahal,” kata Farman.
Bagaimanapun, suspek dilaporkan berjaya diberkas oleh pihak polis di rumahnya pada 9 Januari yang lalu beserta beberapa bukti termasuklah komputer, surat perakaun palsu yang dibuatnya.
Sumber: Kompas.Com