Siakap Keli
Gambar: Bernama

Hubungi SFC Segera Jika Terlihat Buaya Semasa Banjir Di Sarawak

KUCHING, 14 Jan — Orang ramai perlu menghubungi Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) atau meminta bantuan pihak berkuasa jika terlihat kelibat buaya berdekatan kawasan kediaman mereka ketika banjir dan bukannya mengambil video serta menularkannya.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton berkata ketika beberapa daerah di negeri ini dilanda banjir, perbuatan menularkan video tersebut boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai ancaman buaya semasa bencana.

“Jika mempunyai sebarang aduan mengenai ancaman buaya, orang ramai boleh menghubungi pihak Pengawal Hidupan Liar SFC di talian 019-885 9996 untuk Kuching, 019- 888 3561 (Sibu), 019-833 2737 (Bintulu) atau 019-829 0994 (Miri),” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya dalam kes tular terbaru mengenai kemunculan buaya, SFC mendapati video tersebut adalah video lama yang disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Kita (SFC) ada menerima laporan orang ramai … ada yang mengatakan kejadian itu di Kampung Nombor 4, ada yang kata Kampung Nombor 5, di Petra Jaya dan di Lutong, Miri, maka kita pun mengarahkan pasukan ke tempat kejadian tetapi bila sampai di situ tiada apa-apa,” katanya.

Ketika beberapa daerah di negeri ini dilanda banjir susulan hujan lebat yang berpanjangan, beliau berkata kemungkinan buaya muncul di kawasan perkampungan atau perumahan yang dinaiki air boleh berlaku disebabkan ia cuba mencari sumber makanan serta mengelakkan daripada arus air sungai yang deras.

“Bila melihat kelibat buaya, jangan risau, buaya tidak akan terus menganggu manusia. Segeralah lapor kepada pihak SFC, kita akan meletakkan tanda bahaya di kawasan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penduduk mendekati kawasan itu,” katanya.

Zolkipli berkata krisis kehidupan antara manusia dan buaya sememangnya sudah lama wujud, namun manusia perlu belajar untuk menerima hubungan yang ‘harmoni’ tersebut sambil menjaga keselamatan diri.

Menurutnya SFC telah memulakan program 3M yang bermaksud Memahami, Mengenali dan Memulihara untuk mendidik masyarakat memahami dengan lebih baik bagaimana untuk menjalani kehidupan dengan kehadiran buaya.

“Buaya adalah haiwan liar dan tidak mungkin sesiapa dapat menjamin tiada buaya di dalam sungai. Itulah sebabnya ada pepatah ‘lubuk yang tenang jangan disangka tiada buaya’, ” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right