Siakap Keli

Pasukan Forensik Bomba Mula Siasat Punca Kebakaran Di The Andaman

LANGKAWI, 14 Jan (Bernama) — Pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca sebuah blok bangunan di resort lima bintang, The Andaman, a Luxury Collection Resort di Jalan Teluk Datai, kira-kira 40 kilometer dari Bandar Kuah dekat sini, terbakar dua kali, pada petang Selasa dan awal pagi Rabu.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pasukan forensik tersebut turut dibantu anggota daripada JBPM Kedah.

“Siasatan telah bermula sejak semalam melibatkan pakar dari ibu pejabat JBPM Putrajaya dibantu oleh anggota JBPM Kedah. Hari ini selain siasatan forensik kebakaran, anggota akan turut menyoal siasat saksi terlibat.

“JBPM akan melihat secara keseluruhan kerana didapati berdasarkan reka bentuk bangunan di resort tersebut, sewajarnya kebakaran tidak merebak terlalu cepat. Kita akan lihat serta tangani isu ini dari segi perundangan selain melihat juga keperluan logistik setempat,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Nor Hisham yang turun ke lokasi kejadian semalam, turut berkongsi kesukaran dihadapi anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan BBP Persiaran Putra bersama Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) resort ketika proses memadam kebakaran.

“Selain keadaan cuaca panas dan kering serta struktur binaan kayu di resort itu, berdasarkan pemerhatian saya di lapangan semalam anggota sukar untuk mendapatkan bekalan air yang banyak bagi memadam kebakaran di lokasi ini dengan lebih efektif.

“Ini kerana akses di lokasi menyukarkan jentera untuk datang selain bekalan air yang disediakan resort terlibat berdasarkan pengiraaan hanya boleh bertahan lima jam, apabila kebakaran melebihi 12 jam, keadaan sudah sukar dikawal,” katanya.

— BERNAMA