Siakap Keli

“Jangan Manjakan Anak,” Tular Kes Si Ibu ‘Arah’ Anak Jangan Datang Praktikal, HR Tegur Supaya Belajar Hormat Majikan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Baru-baru ini tular satu paparan tangkap layar (screenshot) memaparkan perbualan yang didakwa melibatkan seorang pelajar dan ibunya dengan pihak syarikat.

Berdasarkan perbualan itu, difahamkan pelajar tersebut sedang menjalani tempoh latihan industri di sebuah syarikat buat masa ini dan bertugas di pejabat.

Bagaimanapun disebabkan faktor kekangan semasa melibatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), si ibu dipercayai membuat keputusan sendiri dengan ‘mengarahkan’ anaknya (pelajar) daripada bertugas di pejabat dengan bekerja dari rumah (BDR).

Difahamkan, alasan si ibu adalah kerana bimbang akan soal keselamatan dan risiko kesihatan anaknya, rentetan keadaan wabak COVID-19 yang masih belum reda.

Gambar: Mohamad Fitree

“Apa-apa pasal kerja boleh WhatsApp saya ok”

Berdasarkan di awal perbualan, pelajar tersebut terlebih dahulu memaklumkan kepada HR bahawa dia tidak lagi hadir ke pejabat kerana akan bekerja dari rumah.

Malah turut memberi arahan kepada HR agar menghubunginya melalui WhatsApp sekiranya ada apa-apa perkara tentang tugasan.

Bagaimanapun HR tersebut menegur perbuatannya dan menyatakan bahawa itu adalah tindakan yang salah serta tidak menghormati polisi tempat kerja.

Sejurus teguran tersebut diberikan, maka perbualan itu disambung oleh si ibu pelajar. Dengan penuh jujur, si ibu itu sendiri mengaku bahawa dia yang memberi arahan sedemikian.

Ibu bapa tak perlu masuk campur, dia kena belajar hormat majikan

Bertindak atas kapasiti yang lebih berautoriti, HR tersebut sekali lagi menegur si ibu kerana sepatutnya tidak perlu masuk campur berkenaan hal tersebut.

“Dia (anak) patut belajar bagaimana nak menghormati majikan dan tidak sewenang-wenangnya memberi arahan kepada kami.

“Ya, setiap ibu bapa perlu cakna dan saya pun ada anak juga. Tapi saya harap anda faham bahawa ini adalah attitude yang sangat tidak boleh diterima,” tegurnya.

Jelas si ibu, anaknya itu hanyalah ‘intern sahaja’, bukannya kakitangan. Jadi HR dirasakan tidak perlu untuk menguatkuasakan polisi kerja yang sama ‘tegas’ dengan kakitangan.

Menurut perbualan itu lagi, HR tersebut turut menegur bahawa si anak itu sudahberusia 21 tahun. Sudah dewasa dan boleh membuat keputusan yang lebih bijak.

Walaupun perbincangan dan teguran sudah diberi, ‘malangnya’ si ibu tetap dengan keputusannya.

“Kalau kamu rasa perkara ini tidak boleh diterima, kamu boleh tamatkan (pecat) kontraknya. Terima kasih,” kata si ibu mengakhiri perbualan.

Tindakannya yang begitu ‘memanjakan’ anaknya itu meraih perhatian pihak warganet, turut sama mendapat tindak balas daripada seorang individu yang pernah berkhidmat sebagai perekrut jabatan sumber manusia, Mohamad Fitree.

Sehubungan itu, Fitree berkongsi ulasannya berkenaan isu si ibu dengan HR di atas ini. Mari ikuti ulasannya yang dikongsikan di Facebook baru-baru ini di bawah ini.

Ibu zaman sekarang, jangan manjakan anak

Gambar sekadar hiasan | Kredit Google

Sama masa jadi perekrut sumber manusia (HR recruiter) dulu. Ada orang ‘call’.

“Encik saya call nak tanya ada tempat intern untuk anak saya tak?”

“Eh anak puan mana? Suruh dia call saya sendiri,”

“Anak saya tengah sibuk belajar encik.”

Oh ibu-ibu zaman sekarang. Jangan manjakan anak sampai tahap cari tempat untuk latihan industri (internship) dan cari kerja pun ibu bapa yang kena buatkan.

Sampai satu tahap anak-anak ini perlu diberi tanggungjawab.

Jadi tidak hairanlah kalau ‘group’ WhatsApp sekolah, cikgu-cikgu sampai mengalami tekanan sebab pensil hilang pun mak ayah tanya cikgu dalam ‘group’.

Sayang anak berpada-pada.

Samalah juga dengan kes ini. Sumber dari LinkedIn.

Kita nak anak jadi dewasa. Boleh belajar buat keputusan tapi kita yang aturkan semua dari A sampai Z. Gimana tuu~

Ulasan warganet

Mungkin ‘berang’ dengan tindakan si ibu yang terlalu memanjakan anak, maka ulasan Fitree ini turut mendapat tindak balas daripada kalangan warganet.

Rata-rata beranggapan bahawa perjalanan latihan industri pelajar tersebut sedikit sebanyak telah terjejas akibat sikap si ibu.

Dalam masa sama, ada juga yang mengatakan pelajar itu seakan sudah mensia-siakan peluang latihan industri di kala musim wabak ini yang sukar didapati oleh pelajar lain.

Malah ada yang berkongsi pengalaman betapa peritnya mencari tempat latihan industri atas kaki sendiri tanpa bergantung dengan keluarga.

Pengajarannya di sini, ringkas sahaja.

Jika benar sayangkan anak, jangan terlalu dimanjakan dan berpada-padalah.

Hidup ini bukan mudah. Ada masanya, si anak perlu tahu rasa sakit bagaimana berdiri atas kaki sendiri.

Sumber: Mohamad Fitree

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'