Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Remaja Mengaku Pecahkan Saluran Paip Penapis Air Jiran

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) — Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini kerana mematahkan saluran paip penapis air di rumah jirannya di Jalan Pandan Jaya, Ahad lepas.

Remaja itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat ke atas penapis air jenis milik jiran lelakinya itu dengan menolak saluran paip berkenaan sehingga patah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin serta menetapkan 24 Mac depan untuk serahan laporan akhlak dan menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah manakala remaja lelaki itu diwakili peguam Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

— BERNAMA