Siakap Keli
Gambar: Bernama

Tujuh Kluster Baharu Dikesan, Empat Libatkan Tempat Kerja

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) — Tujuh kluster baharu dikesan hari ini dengan empat daripadanya melibatkan tempat kerja, menjadikan jumlah keseluruhan kluster di seluruh negara kini sebanyak 623 dengan 276 kluster aktif dipantau.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kluster tempat kerja itu dikesan melalui saringan bersasar manakala satu kluster dikenal pasti melalui saringan individu bergejala.

Beliau berkata empat kluster tempat kerja terbabit masing-masing dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan.

‘’Kluster tempat kerja di Selangor ialah Kluster Jalan Selayang yang dikesan positif COVID-19 bermula pada 13 Jan hasil saringan bersasar di sebuah pasar raya terletak di Jalan Selayang Baru, Gombak,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster tempat kerja di Kuala Lumpur pula dikesan di sebuah tapak binaan yang terletak di Jalan Dutamas Raya, Segambut dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Dutamas.

Bagi Kluster Pasir Barat, beliau berkata kluster berkenaan membabitkan daerah Johor Bahru dan Kota Tinggi di Johor yang dikesan hasil saringan bersasar dijalankan secara berperingkat di sebuah tapak projek di Pasir Gudang.

Dr Noor Hisham berkata bagi kes tempat kerja di Negeri Sembilan, pihaknya mengesan 96 kes positif COVID-19 dalam kluster yang dikenali sebagai Kluster Jalan Rantau-Siliau.

Sementara itu, beliau berkata tiga kluster lain yang dikesan ialah Kluster Tropika, Kluster Jalan Pahang dan Kluster Intan Mas.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Tropika melibatkan daerah Johor Bahru dan dikesan hasil saringan tahanan dan kontak rapat di sebuah pusat tahanan.

Kluster Jalan Pahang pula membabitkan daerah Kepong, Titiwangsa, Lembah Pantai dan Cheras di Kuala Lumpur.

“Kluster ini dilaporkan berlaku di Hospital Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Pahang dan hasil saringan mendapati enam kes telah dikesan positif COVID-19.

“Bagi Kluster Intan Mas, ia dikesan di lokaliti kediaman kes indeks yang beralamat di Taman Intan Emas, Teluk Intan, Perak dan hasil saringan 15 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,’’ katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 347 kluster telah tamat termasuk satu pada hari ini dikenali sebagai Kluster Huma di Kelantan.

Sumber: BERNAMA