Siakap Keli
Kredit: Google

‘Wean Off’, Adakah Baby Bersedia? Ini Yang Ibu Kena Tahu Tentang Usia Sesuai Bercerai Susu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sebagai ibu yang mempunyai anak kecil, pasti sudah sedia maklum tentang tempoh memberi susu badan kepada si comel tersebut.

Bagaimanapun bayi tetap akan membesar dan akan tiba satu masa, si comel tersebut perlu ‘beralih’ daripada susu badan kepada sumber pemakanan lain.

Namun adakah kita benar-benar jelas, waktu bilakah yang paling sesuai untuk ‘menceraikan’ bayi daripada susu badan?

Ikuti perkongsian oleh portal perubatan Hello Doktor di bawah ini.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Hello Doktor

Berbicara tentang proses penyusuan, pernah tak anda terfikir bilakah masa sesuai untuk cerai susu dilakukan? Adakah wean off  atau bercerai susu ini jadi terlalu awal atau terlalu lewat?

Masa sesuai untuk cerai susu

Bergelar seorang ibu, anda sememangnya akan disarankan untuk melakukan penyusuan eksklusif kepada si manja.

Anda akan diberitahu tentang kepentingan dan kebaikan susu kepada si manja serta tahap kesihatan anda.

Pun begitu, tidak siapa yang memberitahu anda bilakah masa sesuai untuk meneruskan proses cerai susu, kan?

Semestinya proses penyusuan akan dapat membantu mengukuhkan ikatan antara ibu dan anak.

Di samping eratkan jalinan kasih sayang, susu juga merupakan sumber pemakanan tunggal untuk bayi untuk proses tumbesaran.

Umumnya, tiada keputusan objektif di sini untuk menentukan tempoh masa bagi proses penyusuan. Sama ada setahun atau lebih lama daripada itu.

Walau apa pun, keputusan untuk wean off adalah bergantung kepada anda 100 peratus. Badan anda, anak anda – maka itu adalah hak anda.

Pandangan organisasi kesihatan utama

Kebanyakan organisasi kesihatan utama mengesyorkan penyusuan susu ibu untuk sekurang-kurangnya setahun.

Ia dilakukan dengan enam bulan penyusuan eksklusif, diikuti kombinasi proses penyusuan dengan pengambilan makanan pejal untuk bayi.

Kemudian panduan penyusuan akan berbeza mengikut berapa lama tempoh menyusu yang ingin diteruskan.

Walau bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan American Academy of Family Physicians (AAFP) mengesyorkan penyusuan susu untuk dilakukan bagi tempoh masa yang lebih lama.

Ini kerana terdapat banyak faedah penyusuan kepada bayi bagi tempoh menyusu dua tahun atau lebih.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Hello Doktor

Tempoh purata cerai susu

Proses wean off adalah satu keadaan yang sukar ditentukan secara tepat.

Jika anda adalah seorang ibu yang memilih untuk menyusukan si manja melepasi usia lebih tiga tahun, ketahuilah bahawa itu adalah situasi normal.

Bahkan AAFP menyatakan, berdasarkan data antropologi, usia semula jadi untuk cerai susu – iaitu yang ditentukan oleh kanak-kanak itu sendiri – adalah antara 2.5 hingga tujuh tahun.

Apa yang pasti, bukan semua individu kanak-kanak akan terus menyusu sehingga mencapai usia tujuh tahun.

Tetapi sekurang-kurangnya, anda menyedari adalah normal untuk perkara itu berlaku.

Memulakan proses bercerai susu

Pakar menyarankan untuk memulakan proses wean off sebaik sahaja anak mula mengambil makanan pejal.

Namun, ia bukan bermakna terus berhenti 100 peratus, ya?

Cuma anda mengurangkan jumlah penyusuan dari masa ke masa. Ia mungkin memakan masa daripada beberapa bulan hingga ke tahun.

Proses ini sekurang-kurangnya dapat memberikan badan anda dan juga bayi untuk menyesuaikan diri.

Umumnya, melakukan cerai susu akan memberikan kesan signifikan yang berbeza bergantung kepada usia bayi.

Sebelum usia enam bulan

Perlu diingat bayi berumur enam bulan ke bawah disarankan untuk diberi penyusuan susu ibu secara eksklusif. Namun, jika ada kes berbeza, anda perlu menggantikan penyusuan badan dengan susu formula.

Jika bayi anda tidak biasa minum melalui botol susu, anda perlu membiasakan mereka.

Secara perlahan-lahan, tingkatkan jumlah penyusuan botol susu dan kurangkan penyusuan susu badan.

Dalam masa beberapa minggu atau bulan, anda boleh terus beralih kepada penggunaan botol susu.

Selepas usia enam bulan

Pada usia ini, anda boleh menggantikan beberapa sesi penyusuan dengan makanan pejal.

Tetapi anda harus menyedari bahawa seorang bayi biasanya tidak mengambil makanan pejal dalam jumlah yang banyak.

Ibu perlu menggabungkan susu formula apabila mengurangkan sesi proses penyusuan badan. Tambahkan susu formula ke dalam makanan pejal sebagai makanan tambahan.

Sentiasa ingat bahawa susu ibu atau susu formula masih merupakan sumber kalori utama si manja pada tahun pertama.

Selepas usia setahun

Jika bayi mengambil makanan pejal dan mula meminum air bersama susu, anda boleh mengurangkan penyusuan bayi tanpa perlu menggantikannya dengan susu formula.

Melakukan cerai susu pada usia ini mungkin melibatkan keterikatan emosi.

Jadi anda mungkin perlu memikirkan cara lain untuk mewujudkan rasa selesa pada bayi seperti ketika mereka menyusu badan.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Hello Doktor

Secara mengejut

Tindakan ini sangat tidak digalakkan, kerana menyebabkan pembengkakan payudara dan meningkatkan risiko jangkitan. Ia juga boleh menjejaskan emosi bayi dan anda.

Namun, dalam situasi tertentu, wean off secara mengejut ini mungkin didasari oleh keperluan tertentu. Tapi pastikan anda menggantikannya dengan makanan atau susu formula yang sesuai.

Secara sendiri

Seperti namanya, ia bermakna anda memberikan kebebasan pada si manja mengikut keselesaannya untuk proses cerai susu.

Setiap kanak-kanak adalah berbeza dari segi penyusuan. Ada yang mudah berhenti menyusu, ada yang memerlukan lebih banyak masa sebelum wean off.

Terpulang kepada ibu…

Keputusan mengenai berapa lama proses penyusuan atau cerai susu akan dilakukan adalah hak peribadi anda.

Setiap ibu pastinya mempunyai pendirian yang melibatkan emosi dan fizikal untuk apa yang terbaik buat dirinya dan anak.

Namun, ibu perlu ingat, keputusan untuk menghentikan penyusuan adalah berbeza bagi setiap anak-anak.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor