Siakap Keli
Kredit: Google

“Jangan Terima Barangan Yang Tidak Kita Pesan”, Peguam Dedah Taktik Licik Scammer Buat ‘Fake Order’

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Anda pernah mengalami kes ada orang nak hantar barang ke rumah sebab anda didakwa telah membeli barangan tersebut?

Dan pada masa yang sama, anda sangat kehairanan sebab setahu anda, tiada sebarang pembelian dibuat sebelum itu dan anda yakin barang itu bukan milik anda.

Baru-baru ini kes seperti ini dialami sendiri oleh peguam, Puan Nor Zabetha di mana beliau mendakwa mendapat panggilan daripada pihak logistik tentang pesanan ‘misteri’ yang akan dihantar ke rumahnya.

Bagaimanapun, muslihat tersebut terbongkar apabila Puan Zabetha dapat mengenal pasti bahawa barang itu bukanlah miliknya, malah beliau juga turut terselamat daripada menjadi mangsa penipuan pihak tertentu.

Mari ikuti perkongsiannya di bawah ini sebagai pedoman kita bersama.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Rappler/Google

Jangan terima barangan yang tidak kita pesan. Takut-takut discam!

Semalam sekitar jam 2 petang, ada syarikat penghantaran yang menghubungi saya.

Katanya hendak buat penghantaran di pejabat tetapi pejabat saya tutup kerana PKP. Saya tanya barangan apa yang hendak dihantar?

Saya memang ada buat pesanan tetapi bukan dihantar ke pejabat, sepatutnya dihantar ke rumah saya. Saya minta gambar bungkusan.

Dia kata tak pasti dan biar dia semak semula dengan pengurusnya. Dia hantar gambar bungkusan. Katanya maaf gambar tidak berapa jelas dan hanya itu sahaja gambarnya.

Dia beritahu lagi “Bungkusan ni kecik je”

Saya minta masa untuk saya semak semula, benarkah saya ada buat pesanan. Memang saya tidak pesan tapi manalah tahu anak saya tertekan skrin telefon atau mungkin saya tersalah tekan secara tidak sengaja. Manalah tau.

Saya semak, memang ada beli projector tetapi sebulan yang lalu. Barangnya pun sudah sampai dan sudah digunakan pun.

Kemudian saya hantar voice note “Dik, confirm bukan akak punya jangan hantar. Entah orang lain punya. Boleh semak tak semula dengan platform tu barang apa?”

Penghantar ini semak dan kemudian hantar gambar projector yang kononnya dipesan oleh saya.

Katanya “Ini fake order kak, barang ini RM1,324 untuk 5 unit. Akak order sampai 5 unit. Kalau akak nak cancel pun boleh. Betul ke akak order? Or saya cancel je”.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

“Cancel je dik, akak memang tak nak ambil sebabnya, nanti kalau ada dekat tangan kita, kalau rosak atau apa-apa jadi. Kita pula ganti. Kalau kita terima pulak tapi tak order nanti kena bayar pula. Liabiliti ni semua”, sempat saya berhujah dari sudut pandangan undang-undang.

“Betul kak, manager saya pun cakap ini fake order kak. Barang ini kecik sangat, harga pula sampai RM1,300 lebih. Barang tu saya kasi cancel sahaja kak”

Fuh! Lega. Selesai satu masalah. Saya jadi lebih paranoid kerana scam pembelian online ini macam-macam.

Ada pernah sekali dahulu, saya diminta nasihat oleh mangsa penipuan pembelian online. Dia beli laptop di platform e-dagang tetapi selepas pesanan masuk, penjual terus menghubunginya memaklumkan stok habis.

Penjual menawarkan model lain dan meminta pembeli batalkan pesanan di platform e-dagang tersebut.

Selepas pesanan dibatalkan, penjual meminta agar segala urusan perlu diteruskan dengan penjual secara terus tanpa melalui platform itu.

Pembeli pun percaya dan telah membuat bayaran beberapa ribu ringgit bagi pembelian laptop kepada penjual. Sudahnya penjual cabut lari dan barangan pun tak dapat. Kena tipu.

Sebab saya ini selalu dirujuk kes-kes penipuan dan sering memberikan nasihat, jadi level scam alert saya tinggi atau mudah kata saya jadi paranoid. Tambah-tambah lagi saya memang yakin tidak pernah buat pesanan.

Apa itu ‘fake order’?

Saya pun google lah “Apa itu fake order?” 2 3 kali juga budak penghantar itu sebut fake order. Rupa-rupanya teknik ini dipanggil sebagai Brushing e-commerce.

Caranya adalah peniaga akan menciptakan fake akaun dengan menggunakan butiran peribadi kita dan membuat pesanan online barangan yang hendak dibeli daripada kedainya sendiri di atas platform e-dagang.

Kemudian apabila pesanan dibuat oleh fake akaun kita, mereka akan membuat penghantaran barangan kepada kita di alamat kita. Barang dihantar juga fake dengan menggunakan kotak kosong atau barangan yang kecil.

Apa faedahnya kepada penjual?

Apa mereka dapat dengan membuat kegiatan ini. Begini, jumlah jualan boleh menaikkan rating sesuatu penjual dalam platform e-dagang. Lagi banyak fake order, lagi banyak nampak jualannya. Apabila rating adalah menaik, ini boleh meningkatkan jualan mereka berbanding penjual lain.

Jadi sebab itulah mereka sanggup hendak membuat kerja fake order ini.

Pancingan atau taktik mereka selalu mengena. Yelah, siapa tak nak barang free. Dengar pula ribuan ringgit. Kita pun pakai terima sajalah. Sebab itu cara ini berkesan untuk mereka menunjukkan peningkatan barangan jualan sekaligus menaikkan rating.

Rupa-rupanya di Amazon banyak kes begini. Banyak artikel dan pesanan dikeluarkan. Saya pula, kalau barang saya tidak pesan, entah free atau tidak, seram juga hendak ambil. Entah apa yang diisi dalam kotak.

Kalau jadi mangsa scam fake order ini, memanglah kerugian itu nampak tidak banyak, mereka hanya hendak menggunakan untuk rating tetapi kalau lebih dasyat scammer ini berlarutan. Bagaimana?

Misalnya selepas dapat bungkusan, anda dihubungi pula kononnya pemilik barangan. Pemilik ini meminta anda pulangkan semula barangan yang sepatutnya dibeli olehnya yang telah tersalah hantar kepada anda.

Kononnya, dia dapat makluman anda yang ambil barang itu. Yang kita pula bukan dapat barang tetapi kotak kosong sahaja.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

Kita bagi alasan kita tidak terima apa-apa, dia tak mahu terima dan bergaduh dan ugut ambil tindakan. Sudahnya kita takut, kita bayar. Manalah tahu. Kemungkinan itu ada. Siapa suruh setuju terima barang bukan milik kita?

Scammer ini semakin lama semakin macam-macam akalnya. Sebab otaknya itu memang bergeliga bab menipu, ada sahaja usaha dan kreativiti baru hendak menipu. Mereka boleh menyamar jadi polis, jadi kastam dan lain-lain.

Manalah tahu fake order ini, boleh sampai ke tahap ada yang hubungi itu barangnya dan minta pulangkan balik. Yang kita pun gatal tangan menerima.

Yang menjadi persoalannya, bermakna segala data kita seperti nama penuh, alamat penghantaran dan juga nombor telefon boleh disalahgunakan.

Itu yang sehingga boleh membuat pesanan fake menggunakan nama kita, dihantarkan ke alamat kita. Bahaya begini.

Hati-hati. Kalau scammer itu penipu, biar otak kita lebih bergeliga selangkah lebih, supaya kita tidak mudah ditipu dan dijadikan mangsa. Sentiasa beringat.

Oleh Nor Zabetha

Jangan terima barangan yang tidak kita pesan. Takut-takut discam!Semalam sekitar jam 2 petang, ada syarikat…

Posted by Nor Zabetha on Thursday, January 14, 2021

Sumber: Nor Zabetha

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.