Siakap Keli
Kredit gambar: BERNAMA

Tiada Kekuatan Mental Punca Beregu Malaysia Tersingkir Di Terbuka Thailand

KUALA LUMPUR, 15 Jan  (Bernama) — Pasangan beregu wanita negara Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean menyifatkan ketiadaan kekuatan mental serta kesungguhan untuk mengutip mata pada set penentu merupakan faktor utama kekalahan mereka kepada beregu nombor sembilan dunia – Chang Ye Na dan Kim Hye Rin – pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Thailand Yonex di Bangkok semalam.

Pasangan bukan pilihan itu mempamerkan semangat juang yang tinggi menentang beregu pilihan keenam dari Korea Selatan tersebut sebelum tewas  20-22, 21-19 dan 11-21 pada perlawanan yang berlangsung selama 84 minit di Impact Arena.

Ketika pusingan pembukaan pada Rabu, Mei Kuan dan Meng Yean mengetepikan cabaran beregu Perancis Vimala Heriau dan Margot Lambert dengan 21-15 dan 21-18.

“Secara keseluruhan, prestasi kami agak bagus namun kami gagal memanfaatkan peluang pada set pertama,” kata Mei Kuan yang dipetik dalam rakaman video temu bual selepas perlawanan oleh penganjur dan dikongsikan dengan Bernama di sini.

“Dalam set kedua, kami berjaya mengejar mereka sekalipun ketinggalan 14-19 pada satu ketika dengan menukar strategi kami, namun dalam set ketiga kami terlalu gopoh untuk mendapatkan mata sehingga banyak melakukan kesilapan,” tambah pemain berusia 26 tahun itu.

Bagaimanapun, pasangan beregu negara itu tidak patah semangat dan berhasrat memberikan yang terbaik pada Terbuka Thailand Toyota yang dijadualkan dari 19 hingga 24 Jan ini di venue sama.

Rakan sepasukan mereka Vivian Hoo Kah Mun dan Yap Cheng Wen juga tersingkir daripada kejohanan itu selepas ditundukkan oleh satu lagi beregu Korea Selatan yang juga  pilihan ketiga kejohanan,  Lee So Hee dan Shin Seung Chan dengan catatan mata 14-21 dan 14-21.

Saingan Malaysia dalam kejohanan itu bagaimanapun diteruskan oleh pasangan M. Thinaah dan Pearly Tan yang mengetepikan cabaran beregu Denmark Alexandra Boje dan Mette Poulsen dengan catatan 22-20 dan 21-14 pada satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'