Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Jalan Bukit Fraser-Raub Ditutup Atas Faktor Keselamatan

KUANTAN, 16 Jan (Bernama) — Jalan ke pusat peranginan Bukit Fraser melalui Raub, kira-kira 240 kilometer dari sini, ditutup sejak dua hari lepas kepada semua kenderaan atas faktor keselamatan.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed berkata penutupan itu selepas perbincangan bersama pihak berwajib termasuk jurutera daerah memandangkan terdapat beberapa lokasi berpotensi mengalami tanah runtuh jika cuaca buruk.

Perkara itu juga telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Petugas Pahang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang turut bersetuju dengan keputusan berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Mereka yang tinggal di Bukit Fraser tidak perlu bimbang dengan penutupan jalan tersebut kerana mereka boleh turun mendapatkan bekalan makanan atau bagi urusan lain menggunakan laluan Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Memandangkan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sudah memaklumkan pegawai di Balai Polis Bukit Fraser untuk memudahkan urusan mereka yang ingin mendapatkan permit merentas negeri bagi tujuan tersebut,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Kama Azural berkata sepanjang penutupan jalan itu, hanya pasukan keselamatan dan kesihatan sahaja yang dibenarkan menggunakan laluan itu bagi situasi kecemasan, namun mereka perlu memaklumkan pihak polis terlebih dahulu.

Beliau berkata jalan berkenaan hanya akan dibuka semula apabila pihak berkaitan berpuas hati dengan tahap keselamatan laluan itu.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story