Siakap Keli
Gambar: Bernama

Mayat Mangsa Serangan Buaya Ditemukan

SIBU,19 Jan — Mayat remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Kampung Hilir, Kuala Tatau, dekat Bintulu, semalam, telah dijumpai tengah malam tadi dalam keadaan sebahagian anggota badannya hilang dibaham buaya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada penduduk kampung memaklumkan mayat Affanirul Abdullah, 14, ditemukan kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian oleh penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pada kira-kira jam 12.20 tengah malam.

“Sebahagian daripada tubuh badan mangsa tidak sempurna iaitu tangan kanan putus dibaham manakala kaki kiri patah akibat serangan buaya,” katanya hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurut laporan media, dalam kejadian jam 1.28 tengah hari itu, mangsa bersama dua rakan dikatakan memancing di pinggir sungai sebelum mangsa menyelam bagi mendapatkan semula mata joran yang tersangkut.

Bagaimanapun, mangsa tidak muncul ke permukaan air menyebabkan rakannya segera mendapatkan pertolongan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right