Siakap Keli
Gambar : Bernama

Penjawat Awam Rugi RM200,000 Ditipu Macau Scam

BATU PAHAT, 18 Jan — Seorang penjawat awam di daerah ini kerugian RM200,000 dipercayai akibat terpedaya dengan kegiatan sindiket Macau Scam sejak Oktober hingga November tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor ACP Mohd Salleh Abdullah berkata dalam tempoh itu, mangsa telah dihubungi seorang individu melalui nombor +087 0088 454222 yang mendakwa dirinya dari Pejabat Pos Sabah.

Katanya, mangsa berusia 37 tahun itu juga diberitahu pihak yang menelefon bahawa maklumat dirinya telah disalahgunakan untuk penghantaran kad ATM dan juga kad kredit.

“Mangsa yang panik dan cemas dengan panggilan berkenaan mengikut arahan yang diberikan dalam telefon untuk membuat pembayaran bagi membersihkan namanya daripada kes pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Mohd Salleh lagi, bermula 15 hingga 18 Nov 2020, mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhannya RM200,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh ahli sindiket.

“Polis Johor sentiasa mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkenaan, sebelum memindahkan sebarang transaksi kewangan kepada akaun bank individu yang tidak dikenali.

“Orang ramai juga jangan mudah panik dan cemas sekiranya dihubungi oleh orang yang tidak dikenali, dengan memberitahu mereka terlibat dengan kes jenayah…ini kerana pihak polis tidak sewenang-wenangnya menghubungi anda untuk menyelesaikan kes,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis juga tidak pernah mengenakan sebarang bayaran untuk menyelesaikan kes jenayah. Orang ramai boleh menyemak nombor akaun yang terlibat dengan kes jenayah komersial menerusi portal ccid.rmp.gov.my selain menghubungi terus talian 013-211 1222 untuk pertanyaan kes jenayah komersial.

— BERNAMA

Aziezzan