Siakap Keli

Penunggang Motosikal Akui Polis Tidak Tendang Mereka

GEORGE TOWN, 19 Jan (Bernama) – Penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Tanjung Tokong di sini, dua hari lalu telah membuat pengakuan bahawa anggota unit rondaan bermotorsikal (URB) yang mengejarnya, tidak menendang motosikal yang dinaiki bersama seorang lagi rakan, ketika kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada lelaki berusia 21 tahun itu semalam dan dia mengalami kecederaan patah kaki akibat kemalangan tersebut.

“Lelaki yang merupakan pekerja hotel itu mendakwa, dia tidak menyedari lampu isyarat di lokasi kejadian ketika itu berada dalam keadaan ‘lampu merah’, ketika melarikan diri daripada polis yang meminta mereka berhenti kerana tidak memakai topi kaledar.

“Sebaik melanggar lampu isyarat berwarna merah itu, motosikal yang dinaiki bersama rakannya berusia 19 tahun telah berlanggar dengan sebuah kereta dan lelaki tersebut mengakui tidak berlaku sebarang kekasaran atau ditendang anggota URB berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya rakan lelaki itu yang membonceng motosikal tersebut mengalami kecederan parah di beberapa bahagian badan, serta masih dirawat di Zon Merah Hospital Pulau Pinang dan polis akan merekodkan keterangannya selepas keadaannya semakin pulih.

Sementara itu Soffian berkata, tujuh lelaki berusia 20 hingga 45 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan individu mengepung dan menghalang tugas polis selepas kejadian kemalangan tersebut, kini direman selama tiga hari bermula hari ini.

Katanya polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa lagi individu akan ditahan bagi membantu siasatan, kerana menurut anggota URB terbabit, mereka dikepung lebih 30 lelaki yang turut membuat provokasi serta memaki hamun dan mengugut, selepas kejadian kemalangan berkenaan.

Beliau berkata polis juga menjalankan siasatan terhadap hantaran di media sosial di Facebook dan WhatsApp, berhubung kejadian kemalangan itu yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah, sehingga menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ia akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 017-9272027 bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam, Soffian menafikan tiga anggota URB telah bertindak menendang motosikal dinaiki dua lelaki terbabit sehingga menyebabkan mereka terlibat dalam kemalangan dan jelasnya, anggota URB yang sedang membuat rondaan telah terserempak dengan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki tanpa memakai topi kaledar, dan telah mengarahkan mereka untuk berhenti bagi membuat pemeriksaan.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang